Ahad, 17 Februari 2013

Peranan Guru Sebagai Murabbi di Sekolah Pondok dan Sekolah Aliran Kebangsaan (sambungan......)

         Guru sebagai mua'ddib. Salah satu peranan utama guru adalah bertindak sebagai mua'ddib. Berhubung perkara ini, Rasulullah S.A.W mengatakan bahawa Allah S.W.T sendiri yang telah mendidik baginda dengan sebaik-baik pendidikan. Syed Muhammad Naquib aI-Attas (1979) lebih menekankan peranan guru sebagai mua'ddib berbanding murabbi dan mu'allim. Beliau menggunakan perkataan ta'dib untuk menjelaskan erti pendidikan. Al-Ghazali di dalam menghuraikan konsep fa'dib oleh guru, mengatakan bahawa fa'dib adalah: 1) Proses mendisiplinkan kedua-dua aspek spiritual dan fizikal manusia, yang turut melibatkan perkataan, perbuatan, kepercayaan dan niat seseorang; dan proses ini juga melibatkan: 2) Penguasaan ilmu pengetahuan; dan 3) Perubahan sahsiah bertujuan mencapai akhlak yang mulia - proses ini melibatkan menahan nafsu dan disiplin yang tinggi (riyadah).

         Individu-individu tertentu yang dekat dengan Allah seperti nabi dan rasul tidak pernah, walaupun sekali, mengharapkan sebarang balasan kebendaan apabila menyampaikan sesuatu kebenaran ataupun ilmu Allah. Dari aspek kualiti pengajaran pula, kualiti pengajaran guru-guru (yang mengajar sesuatu ilmu bertujuan hendak memperoleh balasan kebendaan-ganjaran-upah-gaji) akan menurun apabila mereka tidak menerima ganjaran tinggi yang mereka harapkan. Jika terlalu memikirkan soal ganjaran yang menjadi mangsa adalah pelajar, guru merupakan amanah yang perlu dilangsaikan, orang yang tidak melaksanakan amanah boleh dikira sebagai golongan yang memecah amanah.

Guru sebagai Mursyid ianya dari perkataan arsyada, mursyid adalah kata pelaku (ism fa'if). Ini sinonim dengan perkataan ahda yang bermaksud memberi petunjuk. Dengan itu, perkataan mursyid bererti orang yang memberi petunjuk (al-Mu'jam al-Wasit). Ini juga menunjukkan peranan seorang individu yang memberi petunjuk atau seorang individu yang menunjukan hidayah (petunjuk) kepada pelajar adalah bertepatan dengan tujuan profesion keguruan dalam kedua-dua aliran ini sendiri. Abdul Halim Muhammad (2003) mengaitkan antara ciri-ciri mursyid dengan peri bahasa "melentur buluh biarlah dari rebung" dan hadis Rasulullah saw yang menyarankan supaya mendidik anak mengerjakan solat seawal usia tujuh. Telah disebut di dalam al-Quran yang ada kaitannya dengan sifat-sifat mursyid seorang guru :

“Hai hambaku! Aku tiada meminta harta benda kepada kamu (sebagai upah) bagi seruanku. Upahku hanyalah dari Allah” (Maksud Al-Qur' an 11 :29)

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman” (Maksud Al-Qur'an 42:215)

Berdasarkan dua ayat Al-Qur' an di atas, ikhlas adalah sifat yang paling utama bagi seorang mursyid. Ini bermakna, guru yang mursyid ialah guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas. Al-Ba'labakki (1995) dalam Al-Mawrid mendefinisikan penasihat yang ikhlas dalam Bahasa Inggeris dipanggil mentor.