Sabtu, 26 Januari 2013

PERANAN GURU SEBAGAI MURABBI DI SEKOLAH PONDOK DAN SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN (sambungan perbezaan sekolah aliran kebangsaan&pondok)

Apapun cara yang diperlihatkan oleh kedua-dua aliran ini, tugas utama guru tetap mendidik dan membimbing para pelajar ke arah kebaikan dan bersifat mulia, hanya yang menjadi perbezaan ialah cara dalam penyampian sahaja. Di dalam Islam, guru diletakkan pada satu tahap yang amat tinggi sesuai dengan peranannya di dalam masyarakat, tiada masyarakat yang tidak menghormarti profesyen yang amat mulia ini, malah guru yang hanya mengajar silat dan tomoi cukup disanjung, apatah lagi jika guru itu mengajarnya tentang perkara yang berkaitan dengan agama dan akhlak. Mutakhir ini, gejala yang melanda akhlak dan perilaku remaja Islam semakin membimbangkan. Saban hari tertera tajuk yang berkaitan keruntuhan akhlak yang amat menggerunkan bakal-bakal ibu bapa yang bakal menimang anak, jika begini keadaannya bagaimana pula suasana yang akan muncul pada dekad-dekad yang akan datang. Sudah pasti cabaran yang hadir bukan lagi menyesakkan nafas kita, malah mampu menggegar sebuah negara, daripada sebuah negara yang makmur ke sebuah negara yang runtuh dari semua sudut sama ada dari ekonomi, politik dan sistem kemasyarakatan. Sejarah telah membuktikan jika masyarakat sesuatu tempat akan runtuh dengan sebab kebajetan akhlaknya sekalipun muncul sebagai kuasa besar dunia seperti yang dialami oleh Empayer Rom. Dengan cabaran yang begitu besar ini, guru pada dua-dua aliran ini perlu mempunyai peranan sebagai mu’allim, murabbi, mu’addib, mursyid dan da’i. Setiap dari peranan ini mempunyai huraiannya yang tersendiri.

            Guru sebagai mu’allim, mu'allim adalah kata nama (isim fa 'il) yang muncul dari kata terbitan/masdar, ta'lim(pengajaran). Perkataan ta'lim boleh didapati didalam aI-Quran 2:31:

“Dan Allah mengajarkan kepada Adam segala nama, kemudian Ia berkata kepada malaikat: Beritahulah Aku semua nama-nama itu jika kamu benar”

Al-ta’lim membawa maksud: 1)Mengajar; 2)Menjadikan seseorang individu memiliki ilmu pengetahuan; dan proses tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Al-Ghazali mengatakan ta'lim adalah proses menguasai ilmu yang meningkatkan manusia daripada taraf haiwan kepada taraf manusia. Manusia sememangnya memiliki sifat-sifat yang turut dimiliki oleh haiwan antaranya hawa nafsu, bermusuhan, dan sukakan kebendaan; dan pada masa yang sama manusia mempunyai sifat mereka sendiri seperti berakaI, beriman, bijaksana dan sebagainya.

Didalam sistem pendidikan yang ada pada dua-dua aliran, para guru perlu memperkemaskan lagi peranan mereka dalam memberi ilmu kepada pelajar. Ini kerana, ilmu ini akan dijadikan panduan oleh pelajar dan juga perisai kehidupan untuk mengawal unsur-unsur kehaiwanan yang secara semulajadi ada dalam diri manusia (termasuk pelajar) dan juga meningkatkan akhlak mereka. Seorang individu yang tahu menggunakan dengan baik dan betul unsur-unsur kemanusiaannya akan dapat mengawal unsur-unsur kehaiwanan yang ada dalam dirinya, maka ia akan menjadi manusia sebenar dengan memiliki akhlak yang mulia. Sebaliknya, jika seseorang itu tunduk kepada seluruh unsur haiwan yang ada di dalam dirinya, maka perbuatan, kelakukan, pemikiran serta rohnya juga adalah sama tarafnya dengan haiwan. Fenomena berkenaan telah disebutkan di dalam ayat Al-Qur'an berikut:

Dan telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina" (Maksud Al-Qur'an 2:65)

Oleh itu, dalam pembangunan bangsa yang berasaskan ilmu pengetahuan dewasa ini, guru, selain berperanan membentuk akhlak pelajar, mereka juga berperanan sebagai mu'allim. Selaku mu' allim, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru sewajarnya mempunyai niat yang ikhlas; mengetahui cara mengajar yang berkesan; memberi rangsangan serta motivasi kepada para pelajar. Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, al-Ghazali menekankan supaya para guru mengajar dengan niat untuk menyelamatkan para pelajarnya daripada seksaan api neraka; mengajar bukan untuk mendapat upah atau pun apa-apa ganjaran di dunia, sebaliknya bertujuan mendekatkan diri kepada Allah; tidak memandang remeh ke atas ilmu yang disampaikan, sebaliknya, meyakininya dengan penuh bermakna; memberi perhatian kepada pelajar yang 1emah dalam pelajaran; selain mengamalkan ilmu yang disampaikannya kepada pe1ajar.

Guru sebagai murabbi, Murabbi berasal daripada kata terbitan, tarbiyyah (pendidikan). Perkataan tarbiyyah juga didapati dalam Al-Qur 'an 17:24 yang bermaksud:

"Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka mendidikku sewaktu kecil"

 Tengku Ghani Tengku Jusoh (2002) mengatakan tarbiyyah adalah mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik, mengembangkan, menyuburkan dan membesarkan. Antara ciri-ciri guru murabbi menurut al-Ghazali adalah: 1) Menyayangi pelajar dan memperlakukan mereka seperti anak sendiri; 2) Sentiasa menasihati pelajar dalam segala hal termasuk pembelajaran dan perlakuan mereka; dan 3) Menjaga disiplin pe1ajar dengan menggunakan pendekatan mencegah dan menegur secara baik terhadap perlakuan maksiat dan juga menggalakkan perlakuan makruf secara kasih sayang.

Tiada ulasan: