Sabtu, 24 November 2012

PERBEZAAN METODOLOGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI ANTARA SEKOLAH PONDOK DAN ALIRAN KEBANGSAAN (sambungan.....)


Sistem aliran kebangsaan hadir di dalam masyarkat hanya agak lewat dari sistem pondok yang telah terbukti memberi impak dalam membentuk masyarakat , pengajian dan pembelajarnya pula hanya sekadar terhad di dalam kelas, sekalipun sekolah aliran kebangsaan ini mempunya hala tuju yang agak jelas tetapi tidak pula tertera pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan dari aliran ini benar-benar ingin memberikan sumbangan terhadap masyarakat yang mengelilingi sekolah tersebut. Ini dapat dilihat dari Falsafah Pendidikan Kebangsaan:

           
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah yang lebih memperkembangkan potensi secara individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang secara harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

           
Falsafah ini lebih menjelaskan secara lanjut untuk mengembangkan potensi individu tetapi tidak melibatkan mengembangkan potensi masyarakat, ini bermaksud pembelajaran dan pengajaran yang ada hanya melibatkan individu yang hadir di sekolah tersebut, apa yang berlaku di luar sekolah tidak menjadi keutamaan sekalipun segala kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat setempat benar-benar menyesakkan nafas sesiapa sahaja termasuk golongan pendidik yang berada di sekolah aliran kebangsaan. Peranan pendidik pula terhad pada pengajaran dan pembelajaran lingkungan keluasan sekolah tersebut. Kebersamaan bersama masyarakat dalam menyampaikan ilmu pula tidak dapat dilakukan kerana hala dan tujuan tidak begitu menyeluruh walaupun setiap sekolah di aliran kebangsaan mempunyai Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah (PBIG), peranan yang sepatutya berfungsi seperti sekolah aliran pondok tidak dapat dipraktikkan dan masih kabur hingga kini, hanya kedengaran yuran PIBG wajib dilunaskan pada tiap-tiap tahun.

           
Peringkat-peringkat pengajian dan pembelajaran pondok pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu ibtida’i (permulaan atau bawah), thanawi (menengah) dan ‘aliyy (atas atau tinggi). Peringkat permulaan adalah peringkat bagi para pelajar yang masih baru. Mereka ini belajar menulis dan membaca di samping membaca al-Quran serta mempelajari asas-asas agama dengan menggunakan kitab-kitab Jawi yang rendah dan mudah, menghafal matan-matan Nahu dan Saraf di dalam bahasa arab serta mempelajari beberapa kitab-kitab yang berkaitan Tauhid dan Fekah.Peringkat pertengahan atau menengah terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah pun mempunyai asas-asas pengetahuan agama Islam. Mereka menggunakan kitab-kitab Jawi yang lebih tinggi sedikit dalam semua bidang di samping mempelajari Nahu, Saraf,  Bahasa Arab, Tauhid dan Fekah.
 

Pada peringkat tinggi pula pelajar-pelajar telah pun mempunyai kemampuan untuk mengikuti kursus yang lebih tinggi daripada peringkat rendah dan menengah, pelajarannya pula lebih mendalam dengan menumpukan kepada kitab-kitab berbahasa Arab dalam usaha menggali apa yang telah ditulis oleh ulama-ulama muktabar pada masa dahulu. Menariknya kitab-kitab yang dipelajari dipondok tidak boleh didapati di sekolah aliran kebangsaan,  ini kerana buku-buku yang digunapakai ialah buku-buku yang telah disediakan oleh pihak kementerian yang mesti selari dengan KBSR atau KBSM, apa yang ditetapkan oleh kementerian adakalanya terpaksa diubah, dikemaskini hingga adakalnya kelihatan terlalu lebih mengejar nilai komersial dan keuntungan semata-mata, jika dilihat kepada subjek Pendidikan Islam isinya yang ringkas dan adakalanya lebih mementingkan grafik buku tidaklah membantu dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul di kalangan pelajar mahupun masyarakat, pendedahan sepatutnya sudah didedahkan dari bangku sekolah dalam menanam minat pelajar dalam mengejar apa yang mereka impikan. Tetapi pembelajaran dan pengajaran di pondok telah mendedahkan kepada pelajar kitab-kitab atau buku-buku yang boleh menjawab beberapa persoalan yang berlegar di dalam masyarakat setempat berkaitan dengan segala hal agama termasuk Akidah dan paling ketara sekali ialah permasalahan Fekah, antara kitab-kitab yang dipelajari di sekolah pondok ialah di dalam bidang Nahu ialah matan al-Jurumiyah dan matan al-Fiyah Ibn Malik, manakala antara kitab-kitab yang digunakan di dalam subjek Fekah ialah Fath al-Mu’in, Fath al-Qarib dan I’anah al-Tolibin. Dalam bidang Hadis pula antara kitab yang digunakan ialah Subul al-Salam, matan al-Arbain al-Nawawi.

           
Apa yang telah disebutkan tadi menunjukkan sistem pembelajaran dan pengajian di pondok benar-benar  mampu menyediakan individu yang mampu menangani permasalahan yang timbul di dalam masyarakat, sejak awal lagi sudah terdedah dengan kitab-kitab yang sememangnya menjadi rujukan di dalam bidang agama. Pengajian yang mempunya tiga peringkat dan bersinambungan pada tempat yang sama banyak membantu pelajar-pelajar aliran pondok menghadami apa yang mereka belajar tanpa perlu berpindah-randah ke tempat lain kerana semuanya telah lengkap di satu tempat malah tidak perlu risau sekiranya tercicir kelas atau tidak lulus dalam sesuatu peperiksaan, ini kerana pengajian pondok memberi peluang kepada siapa sahaja ingin mendalami ilmu agama malah mungkin juga mampu mencapai cita-cita yang diimpikan oleh pelajar.

 
Berbeza dengan pengajian aliran kebangsaan, sekalipun menyediakan pembelajaran dan pengajian yang bermula dari rendah, pendedahan hanya benar-benar berlaku ketika mereka menjejak kaki ke menara gading, itupun sekiranya yang berjaya sampai ke menara gading, bagi mereka yang tidak bernasib baik tetapi punya minat yang belajar impiannya terhenti sekerat jalan. Amat malang bagi pelajar yang mempunyai minat untuk belajar lebih  mendalam tetapi tidak dapat mencapai impian tersebut kerana sistem yang disediakan telah pun tertulis begitu, ini menjadikan negara kita kehilangan aset-aset atau sumber tenaga manusia yang mampu membangunkan negara ini.