Isnin, 1 Disember 2008

Ketuanan Melayu hanya hebat jika Islam menjadi terasnya

Assalamualaikum…..

Saya telah membaca artikel yang saudara tulis didalam ruangan harakahdaily.net, ianya agak menarik perhatian saya terutama apabila saudara mengatakan yang saudara ingin ruangan perdebatan dibuka untuk orang ramai, oleh itu saya amat-amat mengalu-alukan hasrat murni saudara ini, tanpa perdebatan yang berpaksikan ilmu minda dan kreativiti seseorang akan menjadi lemah dan mandum.

Persoalan yang selalu didendangkan oleh UMNO ialah masalah ketuanan Melayu, seolah-olah menggambarkan Melayu akan hilang kuasa didalam negara sendiri, persoalannya ialah kenapa setelah majoriti 2/3 BN hilang di Parlimen barulah isu ini cuba diangkat, kenapa tidak dari dulu lagi ketika mereka punya solid power di dalam Parlimen. Kemungkinan ketika itu UMNO hanya terlena dengan kekayaan dan juga jawatan yang mereka sandang hingga gagal memahami perasaan sahabat-sahabat gabungan yang lain, sungguh malang buat pihak kerajaan. Hendak salahkan 100% UMNO yang melakukan ini semua rasanya masih tidak adil, pada saya dari pengamatan saya sebagai anak muda melayu yang berumur 30 tahun serta mempunyai seorang anak. Jika dilihat keadaan sekililing didapati masih lagi ramai orang Melayu yang beragama Islam masih belum lagi boleh menerima konsep Islam yang sebenar, masih belum mampu melihat bangsa lain sebagai individu yang perlu kita raikan, masih lagi terpasak didalam jiwa orang melayu sensitiviti yang tidak kena tempatnya dan berbagai lagi ragam yang adakalanya menyerlahkan kedangkalan cara orang Melayu berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Lebih-lebih lagi dengan isu yang timbul kini, makin hari makin pelik bin ajaib situasinya.

Sekali pandang orang Melayu kebanyakkannya tidak suka membaca dan memikir sesuatu yang amat mendalam dan penting dalam kehidupan mereka, kita ambil contoh pengajian agama yang dilakukan disurau-surau mahupun masjid, kebanyakkan tajuk pengajian masih lagi berkisar tentang ibadah yang berkaitan solat, puasa dan lain-lain, bila pengajian yang ingin dilakukan itu berkaitan sejarah mengenai cara al-Quran diturunkan dan segala yang berkaitan, gambarkan betapa luas dan indahnya Islam sudah ada yang mula mengomel mengatakan tajuk yang dipelajari amat tinggi pada perkiraan mereka. Sekiranya inilah yang terjadi, bagaimana keindahan Islam ingin disampaikan kepada umat Islam Malaysia terutama yang berbangsa Melayu? Masalah ini akan terus berterusan selagi minda orang Islam Melayu tidak akan berubah dan juga bersedia menerima apa sahaja yang menggambarkan Islam itu amat luas. Kenapa ini semuanya harus terjadi, surau-surau dan masjid sewajibnya menjadi bukan sahaja tempat beribadah tetapi juga menjadi tempat komuniti setempat dan juga tempat orang ramai menggali sebanyak ilmu agama dan yang lain-lain. Permasalahan hukum dari kalangan imam mazhab yang empat juga susah mendapat tempat, memang benar kita di Malaysia bermazhab Syafie, tapi dalam ingin menerangkan betapa luasnya ilmu Fekah dan kesenangan dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit jarang diambil perhatian. Sudahnya Islam yang luas itu disempitkan dan dijumudkan sehingga kita orang Islam terumata yang Melayu tidak berlapang dada dalam seseuatu isu, masing-masing ingin menunjukkan yang mereka adalah jaguh dalam isu tersebut.

Ini semua adalah perkara asas jika ingin meletakkan semua umat Islam yang berbangsa Melayu belajar berlapang dada terutama pada perkara yang sensitif dikalangan kita di Malaysia, jika apa yang saya sebutkan diatas mendapat perhatian semua, insya'allah kita akan menjadi lebih terbuka dan berlapang dada kerana telah melihat Islam itu amat luas, indah dan mudah, semuanya bergantung pada kemahuan orang Melayu jika inginkan perubahan pada minda mereka. Jika ini semua dapat diatasi dengan jayanya, semua bangsa yang bukan Islam di Malaysia akan memandang tinggi dan hormat pada bangsa Melayu malah kehormatan itu juga akan dirasai juga kepada penganut Islam yang bukan Melayu. Jika silap saling hormat menghormati wujud nescaya masyarakat majmuk di Malaysia akan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Harapan ini sebenarnya telah pun berlaku tidak mustahil akan berlaku semua dizaman canggih ini. Kegemilangan tamadun Islam yang lampau adalah disebabkan demokrasi yang sebenar begitu subur ketika itu, kebebasan bersuara samada dari orang Islam mahupun bukan Islam begitu mekar, hasilnya kita boleh lihat kemunculan sarjana-sarjana Islam muncul hingga kini penulisan mereka masih menjadi rujukan terutama di barat, akhirnya negara yang bukan Islam menjadi maju dari negara-negara umat Islam. Malangnya kita mengaku sebagai sebuah negara Islam tapi tahap pemikiran, demokrasi, ekonomi dan lain-lain semuanya tempang dan caca-merba. Contoh paling dekat ialah ketidak upaya menguruskan ekonomi negara dengan baik ketika minyak dinaikkan dengan mendadak dan tergesa-gesa dan berbagai lagi lompang sana sini yang berlaku tapi tetapi tidak mahu kesalahan yang ada malah siap memberi tunjuk ajar pada negara yang lebih maju agak mengikit acuan ekonomi yang dirangka oleh Malaysia. Hanya Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita, jika orang-orang arab ada menyebut bangsa arab akan maju sekiranya dengan Islam, begitu juga dengan bangsa Melayu dan juga bangsa-bangsa lain yang beragama Islam, maruah dan jatidiri hanya akan tinggi sekiranya Islam yang memandu kita. Tapi harus diingat Islam bukan sekadar hukum sahaja, fahamilah Islam secara luas dan global, kajilah al-Quran dah Hadis nescaya globalnya Islam akan dapat dihayati oleh semua bangsa di dunia ini.

Tiada ulasan: