Ahad, 6 Jun 2010

Ibnu al-Adim Sejarawan Halab (siri 9)

Metodologi Buku Zabdatul Halab Fi Tarikh al-Halab

TIADA PENGGUNAAN SANAD

Di dalam buku beliau ini tidak kelihatan penggunaan sanad dan matan seperti yang di lakukan oleh ahli sejarawan yang awal iaitu di Mekah dan Madinah. Ketiadaan sanad ini dari apa kajian dan ketelitian saya adalah di sebabkan fokus penceritaan di dalam kitab beliau yang banyak menumpukan pensejarahan Halab yang tiada kaitan dengan hukum-hakam syariat. Ianya sekadar penceritaan yang perlu di ketahui oleh sesiapa pun tanpa perlu bersusah payah untuk meneliti terlebih dahulu perawi-perawi yang menceritakan kisah tersebut. Contoh beliau tidak menggunakan sanad dapat di lihat dari petikan cerita yang terdapat pada helaian sebelum ini. Malah terdapat juga di dalam penceritaan beliau, beliaulah yang menjadi watak sebagai sang hikayat terhadap cerita dan sejarah yang ingin beliau sampaikan. Cara beliau ini dapat di lihat pada tajuk Ibnu al-Adim Rasul Sultan, petikan cerita tersebut adalah seperti berikut:

وسيرت من حلب، في الرابع من شوال، سنة خمس وثلاثين وستمائة، إلى بلاد الروم، لعقد الوصلة بين السلطان الملك الناصر، والسلطان غياث الدين كيخسرو، على أخت السلطان كيخسرو، وهي ابنة خالة الملك العزيز، والد الملك الناصر. وسمع السلطان كيخسرو بوصولي، وكان في عزم كيخسرو التوجه إلى ناحية قونية، فتعوق بسببي، وسير بولقا إلى أقجا دربند، قبل وصولي ابلستان يستحثني على الوصول، ويعرفني تعويقه بسببي، ثم سير بولقا آخر، فوصل إلى تحت سمندو يستحثني على الوصول.

Dengan metod yang beliau gunakan pada kitab beliau ini boleh di buat penilaian bahawa penulisan di dalam kitab Zabdatul Halab Fit Tarikh Halab ini menyamai apa yang di lakukan oleh sejarawan yang berasal dari Kufah dan Basrah, kedua-dua tempat ini berada di dalam negara Iraq. Metod yang di gunakan dari kalangan sejarawan yang berasal dari Kufah dan Basrah ini berbeza daripada sejarawan yang berada di Mekah dan Madinah adalah di sebabkan pertembungan yang kerap berlaku di kedua-dua tempat itu, pertembungan ini merupakan pertembungan sesama sendiri samada secara politik, kedaerahan dan kabilah. Situasi ini juga berlaku pada zaman Ibnu al-Adim hingga beliau sendiri menyaksikan peristiwa itu berlaku dengan menyaksikan Halab sebagai sebuah tempat yang memberahikan untuk di jadikan pusat kekuasaan. Peristiwa yang begitu banyak ini dapat di lihat dalam kitab beliau Zabdatul Halab ini.


TARIKH AL-MAHALLI AL-DINI

Dari segala penceritaan yang ada di dalam kitab beliau ini, buku ini sebenarnya mempunyai kategori yang sendiri, ialah tidak sama dengan kitab-kitab sejarah yang lain yang banyak mencerita sesuatu peristiwa dengan panjang lebar tanpa memberi fokus pada sesuatu tempat yang sememangnya menjadi tempat tumpuan orang ramai ketika itu. Jika tiada usaha yang di lakukan begini mungkin kita tidak akan dapat mendalami sejarah sesuatu tempat atau bandar. Kitab Zabdatul Halab ini telah di -klasifikasikan sebagai sebuah kitab sejarah yang di panggil Tarikh al-Mahalli al-Dini. Kitab-kitab jenis ini tidak menumpukan fokusnya terhadap kaitan sejarah-sejarah yang berlaku di sesuatu tempat atau bandar atau memberikan tempat yang istimewa di dalam sebuah buku mengenai seorang tokoh yang ingin di ceritakan. Fokus yang ingin di berikan pada kitab atau buku di dalam kategori ini ialah untuk memperkenalkan kepada pembaca sejarah yang suci (al-Muqaddas) bagi tempat tersebut. Atas sebab inilah kitab Zabdatul Halab di kategorikan di bawah nama ini. Ini bermakna kitab atau buku karangan Ibnu al-Adim ini menyamai kitab-kitab lain yang mempunyai tujuan yang sama seperti kitab Akhbar Makkah karangan Abu Walid Muhammad bin Abdullah al-Azraqi, Tarikh Baghdad karangan al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Dimasyq karangan Ibnu ‘Asakir dan kitab-kitab lain yang masih terdapat hingga kini yang mempunyai fokus yang sama dengan kitab karangan Ibnu al-Adim ini.

Tiada ulasan: