Isnin, 11 Oktober 2010

PERKEMBANGAN PERUBATAN DI ANDALUS (siri 1)

PENDAHULUAN

Perubatan Islam mulai muncul pada zaman selepas kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan ia terus berkembang sepanjang abad-abad kewujudan ketamadunan Islam. Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab tidak mempunyai bidang perubatannya sendiri. Selepas kedatangan Islam didapati ramai tokoh-tokoh yang terkenal dalam bidang perubatan Islam seperti al-Razi, al-Zahrawi dan ramai lagi tokoh-tokoh perubatan yang lahir seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh tamadun yang meninggalkan sesuatu yang berharga kepada dunia. Ilmu perubatan Islam ini diamalkan dengan luasnya ketika tamadun Islam mencapai kemuncak kegemilangannya. Pada mulanya ilmu ini telah dicedok dari pengaruh tamadun sebelum Islam seperti tamadun Greek dan kemudiannya dimajukan lagi sejajar dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh tamadun Islam ketika itu. Unsur dan pengaruh kuno kebanyakannya berasal dari ilmu perubatan Yunani atau amalan-amalan perubatan dari India dan China telah mengalami evolusi dan memberi suatu bentuk dan corak tersendiri kepada sistem ilmu perubatan Islam. Namun selepas empayar Islam yang gemilang mulai lesap, banyak karya perubatan dari zaman Islam mulai muncul dalam bahasa Latin dan mempengaruhi cara pemikiran dan amalan sistem Barat.

Kira-kira dua ratus tahun sebelum hijrah tapak-tapak tamadun yang pernah mencapai gemilang telah mulai runtuh disebabkan peperangan dan penyakit yang merebak melanda penduduknya. Kemajuan fikiran perubatan yang berasaskan prinsip-prinsip penganalisaan dan pengalaman mulai lumpuh. Syria pula telah mengambil tempat sebagai pelindung bagi pemikiran ilmu perubatan asal dari Yunani. Puak Nestorian telah menubuhkan pusat-pusat pengajian perubatan di Edessa dan Nisibis dan berkembang ke peringkat yang disanjungi ramai menjelang abad ke lima masihi, golongan Kristian mazhab Nestorian inilah yang membawa tamadun Yunani bersama mereka ketika diusir. Mereka menterjemah karya-karya perubatan Yunani ke bahasa Syria dan mengembangkannya ke Mesopotamia. Apabila orang Arab disatukan di bawah pemerintahan Islam dan seterusnya menewaskan Syria dan Parsi, mereka telah menemui tamadun ini. Kuasa Islam terus bertapak sehingga keseluruh Afrika Utara dan Sepanyol. Dalam abad inilah tokoh-tokoh Islam menyerap tamadun yang terdapat di kalangan puak-puak yang ditewaskannya. Khalifah-khalifah Islam telah membina pusat-pusat pengajian di Baghdad. Selepas itu akademi-akademi mulai ditubuh di Samarkand, Isfahan dan Damsyik. Akademi-akademi tersebut berpusat di masjid. Di masjid juga terdapat perpustakaan yang lengkap, klinik dan hospital. Doktor-doktor mazhab Nestorian dan Sabaen telah menterjemahkan buku-buku teks perubatan terutamanya karya-karya Galen.

Kecenderungan umat Islam keturunan Arab terhadap ilmu perubatan terus mencipta suatu sejarah baru dalam perkembangan perubatan. Dengan ini ilmu perubatan mula berkembang semula di bawah naungan Islam. Ilmu perubatan Islam berkembang pesat melalui sumbangan dari berbagai sumber dan arus yang mempengaruhinya mengikut tempat dan masa. Sumbangan Islam kepada perkembangan ilmu perubatan bukan sahaja terbatas pada penterjemahan karya-karya Yunani tetapi mereka juga meningkatkan bidang kimia dan material perubatan. Tidak dinafikan bahawa hingga ke abad ke lapan belas masihi masih wujud lagi pusat-pusat perubatan di Eropah yang menggunakan karya-karya ciptaan pakar-pakar perubatan Islam yang terkemuka umpamanya al-Razi, al-Zahrawi dan lain-lain. Sumber-sumber dari Parsi dan Hindu juga merupakan asas pengajian umat Islam pada masa itu. Dari arus-arus sejarah inilah unsur-unsur ilmu perubatan Islam mula bertunas dan ini dipadankan pula dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

Di dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak saranan untuk berubat apabila ditimpa penyakit, ini menandakan Islam amat mementingkan kesihatan umatnya sama ada kesihatan yang sihat dari segi mental mahupun fizikal. Rasullah sendiri ketika beliau mula sampai ke Madinah ketika permulaan hijrah bukan sekadar membina masjid untuk dijadikan pusat tumpuan dan pentadbiran Madinah malah beliau melakukan aktiviti pembersihan sekeliling Madinah kerana Madinah adalah kawasan yang pernah menerima penyakit taun. Langkahan pertama yang dilakukan oleh baginda terus diikuti oleh sekalangan umat Islam seterusnya di dalam bidang perubatan, asas yang di lakukan oleh baginda ini merupakan cara terbaik untuk mengelak terkena penyakit dan juga menjaga penyakit dari terus merebak ke tempat lain. Antara hadis yang menggesa umat Islam agar mencegah dan menjaga diripada ditimpa penyakit ialah:-

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُوْنَ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوْهَا وَاِذَا كُنْتُمْ فِيْهَا فَلَا تَخْرَجُوْا مِنْهَا
رَوَاهُ اَلْبُخَارِي
Ertinya: Sabda Rasullullah s.a.w ‘Apabila kamu mendengar taun di sesuatu tempat janganlah kamu semua memasukinya dan sekiranya kamu pernah berada di dalamnya (yakni di dalam kawasan yang terkena taun) maka janganlah kamu semua keluar daripadanya’

Berdasarkan hadis ini juga sahabat-sahabat nabi telah mengambil pendekatan yang sama seperti yang dinyatakan oleh baginda dalam usaha untuk mengelak dari terkena wabak taun. Tindakan yang di ambil ini oleh saidina Umar al-Khattab ketika beliau ingin bergerak ke Syam tetapi ketika beliau tiba di Sargha beliau telah dihalang oleh sahabat-sahabat nabi s.a.w agar tidak ke Syam, walaupun berlaku sedikit perbincangan yang hangat akhirya saidina Umar al-Khattab mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Syam setelah dipujuk oleh Abu Ubaidah dan diberitahu hadis di atas kepada Umar al-Khattab oleh Abdul Rahman bin Auf.


OBJEKTIF KAJIAN

Kertas kerja ini bertujuan untuk mencapai objektif-objektif berikut:-
• Mengenali perkembangan perubatan di Andalus.
• Mengenali ciri-ciri kelebihan perubatan di Andalus.
• Mengenal pasti faktor yang membawa kepada kemajuan perubatan di Andalus.
• Memberi kesimpulan dan cadangan dari hasil penulisan ini.

METODOLOGI KAJIAN

Bagi mendapat maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan kertas kerja ini penulis telah melakukan kajian kepustakaan iaitu dengan merujuk, menganalisa dan mengkaji beberapa buku yang berkaitan dengan tajuk penulisan kertas kerja ini, malah penulis juga merujuk beberapa artikel yang mempunyai kaitan dengan tajuk kertas kerja ini dari beberapa majalah elektronik dan laman web. Tumpuan yang di berikan pada kertas kerja ini terhadap aspek-aspek yang dikaji dan juga untuk memenuhi objektif-objektif kajian.

Tiada ulasan: