Ahad, 23 Disember 2012

Perbezaan Metodologi Pengajaran&Pembelajaran Di Antara Sekolah Pondok&Aliran Kebangsaan (sambungan....)

Perbezaan lain yang dapat kita lihat diantara kedua-dua aliran ini ialah dari segi masa yang diperuntukkan untuk mempelajari subjek-subjek yang berkaitan dengan agama. Jika dilihat pada subjek yang dipelajari di aliran pondok sudah tentu masa yang diperuntukkan untuk mendalami ilmu agama tidak terbatas malah adakalanya berlanjutan sampai ke malam dalam menggali permasalahan dan menghadami tajuk yang dipelajari. Manakala di sekolah aliran kebangsaan dengan subjek Pendidikan Islam yang begitu ringkas, sudah tentu boleh dibayangkan berapa lama yang diperuntukkan untuk mempelajari subjek Pendidikan Islam  ini sekalipun subjek ini menjadi subjek teras di sekolah aliran kebangsaan. Peruntukan waktu bagi subjek Pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah ialah 180 minit seminggu di Sekolah Kebangsaan (SK) dan 150 minit di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK). Peruntukan waktu di peringkat Sekolah Menengah Rendah pula ialah 140 minit (termasuk 1 waktu amali) + 60 mint seminggu. Manakala di peringkat Sekolah Menengah Atas ialah 140 minit (termasuk 1 waktu amali) seminggu.

Perbezaan yang telah dijelaskan diatas telah menunjukkan perbezaan yang amat ketara dari sudut pembelajaran dan pengajaran yang ada pada dua-dua jenis aliran yang ada di Malaysia. Sudah tentu pengajian di pondok lebih membantu pelajar atau orang ramai untuk mendalami ilmu agama secara mendalam, dengan cara begitu Islam yang menjadi agama rasmi di negara kita ini dapat diamalkan dan dikembang lagi dengan jayanya, malah dapat memperkenalkan kebaikan agama ini kepada bukan Islam. Tidak keterlaluan juga sekolah aliran pondok ini terus mendapat sambutan orang ramai walaupun dunia kini telah berada di ambang permodenan yang begitu tinggi, malah kehadiran pelajar dari luar negara untuk berguru dan mempelajari semua jenis-jenis kitab yang ditawarkan oleh aliran pondok ini juga mendapat sambutan. Metologi pembelajaran dan pengajian yang ditawarkan serta tidak terlalu membebankan dari sudut kewangan dan tarikan cara pembelajaran juga menjadikan pengajian aliran ini tetap relevan hingga kini. Yang pasti pengajaran dan pembelajaran didalamnya dapat mengubati apa yang dipanggil penyakit yang berpunca dari hati.

PERANAN GURU SEBAGAI MURABBI DI SEKOLAH PONDOK DAN SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN

Sekolah yang wujud tanpa ada guru akan menyebabkan pengajian dan pembelajaran di sekolah berkenaan tergantung atau setiap yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan malah akan menyebabkan setiap subjek yang sepatutnya difahami, tidak akan dapat dihadam oleh pelajar, pengajian dan pembelajaran tanpa ada bimbingan akan menghasilkan salah faham pada sesuatu subjek malah boleh menyebabkan pelajar menjadi lebih jahil gara-gara tiada pembimbang. Malah sudah tercatit dalam sejarah samada di dalam al-Quran atau mana-mana kitab sejarah, setiap sesuatu benda baru akan menjadi lebih cepat difahami sekiranya punya pembimbing yang tepat, malah nabi Muhammad S.A.W sendiri ketika melakukan amanah dalam menyampaikan Islam, baginda tidak menyampaikan dengan fahaman baginda sendiri, semua yang disampaikan itu berdasarkan apa yang telah diajar oleh murabbinya yang Maha Agung melalui perantaraan malaikat Jibrail. Sekalipun yang punya kuasa itu ada kuasa yang tidak terbatas malah boleh menjadikan insan bernama Muhammad bin Abdullah alim dalam semua hal agama dalam sekelip mata, tetapi ini tidak berlaku. Setiap benda baru perlu ada peringkat-peringkat yang perlu dilalui dalam mencapai peringkat ilmu yang lebih tinggi lagi.

            Zat Yang Maha Agung itu telah mengajar kita umat manusia bagaimana ingin menjadi guru yang terbaik dalam mendidik pelajar. Segala rahsia dari pembelajaran mengenai Islam kepada baginda S.A.W terkandung dalam al-Quran. Begitu juga profesyen perguruan, perlu punya sifat-sifat yang tertentu yang mampu membangunkan minda dan jatidiri pelajar. Pada kali ini, tidaklah dapat dibezakan peranan guru dikedua-dua aliran, kedua-dua aliran ini mempunyai hala tuju yang sama dalam mengamalkan profesyen perguruan. Guru dari aliran kebangsaan mempunya falasafah mereka sendiri seperti yang tertera pada Falsafah Pendidikan Guru :
           
Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001, ms. 1)
          
Manakala peranan yang dimainkan guru di aliran pondok pula tidaklah mempunyai perbezaan jauh dari Falsafah Pendidikan Guru aliran kebangsaan. Pengajian dan pembelajaran di aliran pondok banyak terdedah dengan kitab-kitab yang dikira muktabar dan terpakai dalam bidang agama, sudah tentu falsafah pendidikan guru didalam aliran pondok  banyak dikutip dari ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis nabi yang berkaitan dengan profesyen perguruan ini. Malah yang lebih menarik lagi dari kalangan guru-guru yang berada di aliran pondok, mereka mempunyai masa yang begitu banyak bersama dengan pelajar-pelajarnya, hubungan antara guru dan pelajar menjadi lebih akrab malah kebiasaannya hubungan antara guru dan pelajar dari aliran pondok tidak akan putus sampai bila-bila. Guru di aliran pondok sentiasa menjadi rujukan jika ada timbul kekeliruan daripada permasalahan yang timbul. Malah kalau diperhatikan kepada kehidupan seharian guru yang berada di aliran pondok, kehidupannya amat sederhana malah sara hidupnya hadir dari usahanya sendiri, hadiah, zakat, wakaf, hibah (pemberian) daripada masyarakat sekeliling dan seupamanya. Ini memperlihatkan aliran pondok mempunyai hubungan akrab dengan masyarkat sekililing.

Tiada ulasan: