Selasa, 3 November 2009

Sejarah Ibnu al-Adim Siri 2

ASAL KETURUNAN IBNU AL-ADIM

Tidak lengkap ketika menulis biodata seorang tokoh jika kita tidak mencari salasilah keturunannya, faktor pengaruh keluarga adakalanya memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri sesorang. Kelahiran nabi Muhammad S.A.W sendiri muncul bukanlah dari keluarga yang boleh di anggap sebagai orang kebanyakan atau keluarga biasa, baginda muncul dari salasilah keluarga atau keturunan yang begitu di hormati oleh bangsa Arab Quraisy di Mekah, keturunan baginda ialah Bani Hasyim. Begitu juga kemunculan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang di anggap sebagai khalifah Islam yang kelima, beliau mempunyai susur jalur keturunan dari Umar al-Khattab. Tidak ketinggalan juga bagi sejarawan yang menjadi tajuk fokus dalam penulisan ini. Ibnu al-Adim hadir dari sebuah keluarga yang mempunyai nama dan pengaruh di dalam masyarakat yang berada di Halab. Asal keluarga Ibnu al-Adim terdiri daripada penyair-penyair, sasterawan, ulama fekah dan juga ‘abid. Kebanyakan kaum keluarga beliau mempunyai pengaruh yang luas dan tempat yang tinggi di dalam beberapa jawatan penting di dalam kerajaan seperti jawatan kadi dan mufti.

Antara kaum keluarganya yang tercatat dalam kitab al-Wafiyat Bil Wafiyat karangan Yaqut al-Hamawi beliau telah menukilkan kisah mengenai bapa saudara Ibnu al-Adim yang bernama Muhammad bin Hibbatullah bin Ahmad, bapa saudaranya ini seorang yang cukup di kenali sebagai seorang ‘adib. Beliau menghabiskan masanya untuk beribadah, bapa saudaranya ini juga di kenali sebagai seorang bijak di dalam bidang fekah, zuhud dan juga seorang yang mempunyai akhlak yang mulia. Disebabkan kepakaran beliau di dalam fekah, penguasa Halab ketika itu pernah menawarkan beliau jawatan qadi atau hakim, tetapi beliau telah menolak tawaran itu untuk memberi penumpuan dengan apa yang sedang beliau lakukan ketika itu. Di catat juga sejarah mengenai bapa saudara Ibnu al-Adim ini juga gemarkan penulisan, setiap kali bulan Ramadan, beliau akan beriktikaf sambil menulis dan menyusun semula kitab atau buku yang di tulis oleh imam al-Tirmizi.

Mengikut sejarah keluarga Ibnu al-Adim berasal dari Basrah, Iraq. Keturunan beliau boleh di lihat daripada datuknya yang di kenali sebagai Abu Jaradah. Beliau merupakan salah seorang yang sentiasa mendampingi saidina Ali bin Abu Talib R.A. Susur jalur nasabnya menjalar hingga ke Rabi’ah bin Uqail yang merupakan salah seorang pembesar bagi kabilah Amir bin Saqsa’ah al-Adnaniah. Sejarah keluarga ini berasal dari Basrah, Iraq, di sinilah berkembangnya keluarga Abu Jaradah sehingga ke anak cucu. Pada permulaan kurun ketiga hijrah Musa bin Isa salah seorang ahli keluarga Abu Jarabdah tiba di Halab atas urusan perniagaan, ketika itu juga Basrah sedang menular penyakit taun. Atas sebab bimbang dan takut akan dijangkiti penyakit yang amat merbahaya dan tiada penawarnya ketika itu, beliau telah mengambil keputusan untuk menetap di Halab.

Beliau telah memilih bandar ini sebagai tempat mastautinnya kerana Halab merupakan ibu kota bagi utara Syam, malah bandar ini terletak di tempat yang strategik yang menghubungkan Iraq, negara-negara yang terletak di Asia Tengah dan juga Turki. Musa bin Isa telah mewarisi harta dan kedudukan untuk keturunannya setelah beberapa tahun membina reputasinya di Halab. Usaha yang telah di lakukan oleh Musa bin Isa memberikan ruang bagi generasinya yang berikut untuk membina lagi reputasi keluarga Abu Jaradah ini ke tahap yang lebih tinggi, hinggakan keluarga ini terlibat di dalam pelbagai bidang yang mengundang keluarga ini di hormati oleh semua pihak di Halab. Nama keluarga ini terus berkembang dan mekar berkembang sehingga Halab di hancurkan oleh tentera Monggol, malah reputasi keluarga ini terus di jaga dan di pelihara setelah peristiwa hitam di serang tentera Monggol yang di ketuai oleh Holako. Penggunaan nama keluarga oleh sejarawan tersohor ini telah bertambah dari nama asal keluarganya, beliau telah menambah nama yang terus kekal hingga kini iaitu Ibnu al-Adim. Perubahan nama yang di lakukan oleh beliau tidak dapat di jelaskan apa sebabnya mengikut pendapat yang di kemukakan oleh Yaqut al-Hamawi ketika beliau bertanya mengenai pertukaran nama ke Ibnu al-Adim kepada keturunan Abu Jaradah ini, tiada pun salah seorang dari ahli keluarga yang besar ini dapat memberi jawapan yang tepat mengenai pertukaran nama ini.

Tiada ulasan: