Ahad, 27 Mac 2011

Selamatkan Malaysia

Walaupun ada yang akan mempertikaikan dan tidak mengamalkan hadis ini kerana dikatakan dhaif (lemah), saya tetap dengan pendirian saya "sayangi negaraku". Tanya pada sesiapa pun di negara ini, adakah mereka sayangkan Malaysia? Kita pasti semuanya akan memberi jawapan, "ya".


Tapi, apakah mereka semua tahu bagaimana mahu menyelamatkan negara ini daripada rosak? Ini yang tidak dapat dipastikan lagi kerana perasaan bangga dengan negara ini hanyalah terungkap di mulut, tetapi tidak di hati.

Semakin hari, semakin gusar perasaan saya memikirkan nasib negara, bagaimana rupanya generasi akan datang? Kini, saya sedang menantikan kelahiran anak sulung. Terus saya termenung, "Apakah nasib anak aku ini kalau beginilah corak pemerintahan Malaysia?"

Ada ketikanya, hati bagai meluap-meluap apabila melihat kepincangan yang ada. Perdana Menteri langsung tiada kelayakan mentadbir negara. Asas penting pembinaan anak bangsa berada dalam keadaan caca merba sepanjang 50 tahun merdeka. Sistem pendidikan ini cuma lebih berpaksikan politik dan mengikut kehendak nafsu sendiri.

Natijahnya, kita dapat lihat kini betapa nipisnya akhlak dan tingkah laku masyarakat. Manakala golongan remaja terus disumbatkan dengan hiburan, yang agak berumur menyimpan teman seks. Yang muda pula menganggap semua ini adalah kehidupan peribadinya sendiri. Makin difikirkan, makin sukar. Apakah rakyat Malaysia bersedia membuat perubahan?

Sukar untuk menjawab. Naluri rakyat Malaysia berlainan dengan naluri rakyat lain. Di Indonesia, tumbangnya Suharto dengan perubahan yang diinginkan rakyat. Australia pula menghukum Perdana Menterinya atas isu Iraq. Di Amerika, rakyatnya sudah jemu dengan dasar Bush sehinggakan ekonomi Amerika Syarikat jatuh. Di Korea Selatan pula, rakyat bebas menyuarakan pendapat demi kebaikan negara. Tapi di negara kita, sedihnya masih ramai lagi dalam kalangan kita yang tidak ambil peduli hal berkaitan politik dan kenegaraan.

Wakil rakyat adalah 'khadam'

Walhal, rakyatlah raja sebenar dan juga penentu halatuju negara. Mereka yang dipilih hanyalah berstatus wakil rakyat atau dengan kata lain, merekalah hamba rakyat kerana melakukan kerja untuk kepentingan rakyat. Tapi, kita yang memilih mereka dan kita pula yang menjadi hamba untuk mereka. Sulit sekali memikirkan gaya pemikiran rakyat Malaysia ini. Apakah rakyat Malaysia berada dalam kelompok yang tidak peka?

Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut dalam hadisnya, "Kamu semua adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas tanggungannya." Terang lagi bersuluh bahawa setiap 25 juta rakyat Malaysia ada tanggungjawab ke atas dirinya sendiri, keluarga dan juga negara! Tapi, apakah sumbangan kita kepada negara?

Cukupkah sekadar berbangga kita sudah punya angkasawan, menara berkembar tertinggi di dunia? Ini semua cuma cebisan sumbangan untuk negara, sumbangan sebenar adalah menjaga negara daripada tangan-tangan yang tiada rasa sekelumit pun dalam diri mereka sifat amanah.

Semakin difikirkan kembali, agaknya dunia sudah berada di penghujung usia. Ini kerana antara tanda akhir zaman ialah amanah tidak diletakkan kepada tempatnya. Inilah yang berlaku dalam negara kita. Paling ketara pada mereka yang sedang memegang tampuk kuasa pemerintahan.

Apa lagi yang harus ditunggu? Kepincangan dan kebobrokan makin terserlah di pihak pemerintah negara. Kenapa masih ada mata yang buta untuk melihat ini semua? Jangan biarkan negara ini seperti negara-negara Arab kini. Negaranya kaya, tetapi amalan demokrasi pincang.

Saya pernah belajar di salah sebuah negara Arab komunis. Saya dapat melihat ketakutan rakyat untuk bersuara. Hinggakan, kalau ingin menyebut nama presiden pun tidak berani kerana bimbang mereka dicop sebagai pembangkang. Jadi, apabila berbual bersama mereka, saya dan pelajar Malaysia lain terpaksa memberi suatu nama gelaran kepada presiden mereka apabila berbual mengenai hal kebebasan di negara itu.

Kini, situasi sebegini telah berlaku di Malaysia. Hinggakan mengoyak gambar pun ingin dibuat undang-undang yang boleh disumbatkan dalam penjara. Di mana demokrasi? Semuanya sudah parah baik dari sudut pentadbiran, perniagaan dan juga akhlak.

Hanya kita saja yang mampu merubahnya. PRU akan tiba tidak lama lagi, saya seru kepada semua rakyat Malaysia untuk menggunakan kebijaksanaan anda untuk mengundi wakil anda di Parlimen. Masalah yang melanda kini bukan hanya masalah Melayu sahaja, tapi masalah semua bangsa yang menetap di Malaysia. Ayuh kita melakukan perubahan. Selamatkan Malaysia. Malaysia milik kita.

p/s: artikel ini ditulis utk harakdah daily.net dan sudah diterbitkan.ditulis sebelum PRU 12.sekalipun isunya sudah lama tp masih relevan hingga kini.

Tiada ulasan: