Khamis, 21 Julai 2011

Perkembangan Perubatan di Andalus siri 8

KESIMPULAN
Setelah melihat apa yang telah diusahakan oleh tokoh-tokoh perubatan di Andalus kita sebagai umat Islam yang membaca dan menilai sejarah boleh meletakan serta membayangkan betapa tinggi keinginan dan motivasi semua pihak dari kerajaan hingga ke orang awam sama-sama ingin memajukan diri di dalam bidang ilmu secara am atau dalam bidang perubatan secara khusus. Visi dan misi yang dirancang belum tentu akan berjaya jika tidak mendapat sokongan dari semua pihak. Pihak yang menjadi pemain utama untuk membentuk suasana keilmuwan ini ialah kerajaan atau pihak pemerintah. Pihak pemerintah perlu mempunyai keinginan untuk membentuk visi yang akan terlaksanana. Sekalipun al-Quran dan hadis ada menerangkan keperluan untuk terus menggali ilmu malah terdapat juga motivasi dari dua sumber utama bagi Islam ini tetapi pemerintah yang mempunyai kuasa dan kemampuan yang tidak terbatas untuk menggerakan segala-gala yang berkaitan dengan usaha memartabatkan ilmu.

 Suasana yang aman serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan segala perancangan dapat bergerak seperti yang dirancang. Inilah yang terjadi kepada pergerakan pengamal perubatan di Andalus hingga dapat menarik ramai ilmuwan untuk mencurah kepakaran yang di miliki tanpa mengenal ras dan bangsa sekaligus memberitahu kepada kita kerajaan ini amat terbuka malah begitu bertoleransi terhadap aspek-aspek yang membawa kebaikan kepada semua orang. Suasana sebegini boleh disimpulkan kedatangan orang Islam ke satu-satu tempat bukanlah untuk dijajah tetapi lebih kepada untuk memakmurkan tempat tersebut. Secara tidak langsung mengesahkan Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam. Dalam menyimpulkan apa yang telah terjadi, apakah yang mendorong malah memberi motivasi kepada pemerintah dan orang Arab dan Islam ketika itu untuk mencipa satu tamadun yang hebat hingga kini masih disebut dan dikaji kejayaannya. Terdapat beberapa sebab yang mendorong hingga membolehkan aktiviti keilmuan dan akademik ketika itu begitu tinggi antaranya ialah:- 

  • Pencampuran dan pergaulan masyarakat Arab dengan bangsa-bangsa lain ketika membuka tempat-tempat baru, dengan cara ini telah membuka mata bangsa Arab terhadap kebudayaan dan falsafah baru. Kebudayaan dan falasah baru ini menyebabkan bangsa-bangsa Arab ketika berminat dan ingin mengenali dan meluaskan pengetahuan mereka terhadap kebudayaan dan falsafah yang baru ini malah secara tidak langsung mengembangkan corak pemikiran bangsa Arab.

  • Keperluan dan keinginan bangsa Arab untuk mencari ilmu pengetahuan yang tidak ada pada mereka sebelum ini. Antara yang menjadi tumpuan bangsa Arab ketika itu antaranya ialah perubatan, matematik dan penentuan waktu yang tepat untuk menentukan waktu-waktu solat, menentukan permulaan bulan puasa, haji dan awal tahun hijrah.

  • Dorongan dan motivasi yang banyak dari ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mendorong manusia untuk memerhati sekeliling, menggunakan akal dan membaca. Dari saranan ini bangsa Arab yang kebanyakkan beragama Islam terus menyahut seruan yang berpaksikan wahyu.

  • Kemajuan ilmu bergantung kepada kemajuan tamadun. Satu kerajaan atau tamadun yang maju dari sudut politik dan ekonomi memunculkan satu keadaan yang amat mewah dan kegiatan pembangunan juga makin rancak dan muncul dengan banyak. Keadaan yang begini mendorong diri untuk mengadbikan diri kepada kegiatan pemikiran dan intelektual dan menuntut ilmu.
  • Keprihatinan penguasa atau khalifah terhadap aktivi ilmu samada penulisan atau penterjemahan hingga memberi penghargaan atau upah kepada penulis atau penterjemah dengan menghadiahkan emas. Bukan saja dari kalangan pemerintah yang memberi penghargaan terhadap usaha begini malah terdapat juga di kalangan keluarga-keluarga tertentu yang memberi penghargaan berupa wang kepada penulis atau penterjemah.
Apakah kata yang paling sesuai untuk menggambarkan kejayaan yang telah terhasil dari sebuah tamadun yang gemilang ini. Sebagai umat Islam yang melayari sejarah yang telah tercipta ini bukan sekadar untuk bermegah dengan kegemilangan lampau tetapi perlu meneruskan usaha untuk mengembalikan kegemilangan yang telah lama hilang dari tangan umat Islam. Pencapaian yang telah dihasilkan ini dapat dilihat dari beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan mengenai Andalus atau Sepanyol pada masa kini. Kejayaan ini telah mendapat pengiktirafan dimana-mana sahaja. Di dalam muktamar mengenai tamadun Arab dan Islam yang dilakukan di Universiti Broston, Washington, Amerika Syarikat tahun 1953 telah mengeluarkan resulusi yang menunjukkan setiap bukti memberi kepastian yang amat sangat bahawa ilmuwan barat berhutang dengan kewujudan tamadun Arab dan Islam. Metodologi yang dilakukan oleh ilmuwan barat di dalam kajian dengan menggunakan kaedah uji kaji, kajian, pencarian dan membuat catatan ini semua diambil dari hubungan yang telah berlaku di antara ilmuwan Islam dan barat, iaitu diambil dari satu tamadun yang lahir di benua Erpoah iaitu Andalus.

Sekalipun terdapat usaha barat untuk menggelapkan usaha yang telah dilakukan oleh ilmuwan Islam ketika barat cuba untuk menghidupkan semula kebudayaan dan falasafah Greek dengan cara menghilangkan kesan tapak tangan atau kesan jari orang-orang Islam di dalam usaha penterjemahan, pengakajian, penyususanan, pembetulan dan mentashih. Mereka dengan penuh gigih mencuba untuk menghubungkan tamadun-tamadun lama seperti Greek dan Rom secara langsung dengan kebudayaan barat. Usaha yang dilakukan oleh barat untuk memutuskan segala kesan-kesan ini tidak berjaya, malah setiap kali mereka cuba untuk menggelapkan sumbangan tamadun Islam ini semakin mereka menghadapi satu kekangan untuk menghilang kesan dan tinggalan ilmuwan Islam ini, malah mereka pula menjaga hasil kerja orang Islam dari diselewengkan.
Kegemilangan Andalus ini lebih-lebih lagi di dalam bidang keilmuan ini memang mendapat pengiktiran di mana-mana. Menjadi kewajipan kepada kita untuk terus menggali permata yang telah hilang ini dengan menggali segala karya-karya yang menggambarkan kegemilangan di bumi bertuah itu. Jika di lihat kepada sumbangan yang diberi oleh Andalus telah menarik ramai pengakaji barat hingga mereka mengungkap kata-kata yang positif dan indah bagi sumbangan yang dihasilkan ini hingga meletakan Andalus sebagai sebuah tempat yang berbeza dari tempat-tempat lain yang dikenali di dalam sejarah. Andalus adalah sebuah tempat yang mempunyai kebebasan yang menyeluruh dan keadilan dalam semua aspek yang pernah terjadi di dalam sejarah pembukaan golongan Arab dan Islam bagi mana-mana tempat. Kejayaan yang dihasilkan sama ada dari golongan Islam atau Yahudi ianya diiktiraf sebagai kejayaan tamadun Arab dan Islam. Bagi Andalus sendiri telah menjadi kuasa yang kuat sebanyak dua kali, pertama pada kurun ke empat hijrah atau kurun ke sepuluh masihi iaitu pada zaman Abdul Rahman al-Nasr manakala pada kedua kalinya pada kurun ke enam belas masihi adalah zaman yang paling mithali dan gemilang di dalam sejarah tamadun Arab dan Islam. Kegemilangan yang dicapai ini terpancar dari kata-kata seorang pemikir Sepanyol berkata pembukaan Islam ke atas Andalus membawa bersamanya segala kebaikan.

Suasana ilmu yang meliputi bumi Andalus ketika itu pada penulis suasana yang sepatutnya bagi umat Islam masa kini, malah terdapat kajian dilakukan mengenai tahap pembacaan di kalangan negara-negara Islam masih rendah berbanding dengan negara-negara yang bukan Islam. Dengan pembacaan yang kerap membolehkan sesorang itu mendapat ilmu dan terus dahagakan ilmu hanya dengan ilmu sahaja yang mampu menjadikan manusia itu dihormati malah mendapat tempat yang tertinggi disisiNya. Kemampuan golo ngan ilmuwan di Andalus ketika itu boleh digambarkan mereka amat-amat memahami banyak saranan dari wahyu ilahi samada al-Quran dan hadisnya untuk memberi manfaat kepada sesiapa sahaja di alam ini, antaranya yang dapat di lihat dari hadis ini:-

أَفْضَلُ الْأَعْمَالِ اَلْعِلْمُ بِاللهِ وَاِنَّ الْعِلْمَ يَنْفَعُكَ مَعَهُ قَلِيْلُ اْلعَمَلِ وَكَثِيْرُهُ وَاِنَّ الْجَهْلَ لَا يَنْفَعُكَ مَعَهُ قَلِيْلُ الْعَمَلِ وِلَا كَثِيْرُهُ

                                                                                      رَوَاهُ اَلْحَكِيْمُ



Ertinya: Sebaik-baik amalan ialah ilmu, demi Allah dan sesungguhnya ilmu memberi manfaat kepada kamu sama ada kamu beramal dengannya (ilmu) sedikit atau banyak dan sesungguhnya kejahilan itu tidak memberi manfaat kepada kamu sama ada kamu beramal dengannya sedikit atau banyak.

Sekalipun barat menguasai bidang perubatan dan lain-lain disiplin ilmu kini, tetapi ianya tidak akan sama dengan apa yang telah dihasil dan dicapai oleh tamadun Islam dahulu. Sebab utama tamadun barat tidak boleh mencapai tahap yang dicapai oleh tamadun Islam kerana mereka hanya mengambil ilmu ini dari sudut material tanpa mengambil sama sudut rohani yang merupakan benteng dari menyelamatkan ilmu dan ilmuwan daripada diseleweng mengikut hawa nafsu. Di bawah ini juga penulis meletakan sebuah kata-kata yang terhasil setelah melihat kegemilangan yang di hasilkan di Andalus dan tidak dapat di ikuti oleh tamadun barat kerana sebab yang telah dinyatakan pada awal tadi. Tidak perlu di terangkan lagi bagaimana situasi yang tamadun barat yang dibina sama ada masa zaman empayer Rom atau pada masa kini, jelas lagi tersuluh kebajetan akhlak telah meranapkan tamadun Rom dulu dan mungkin kemajuan barat kini pula menanti saatnya.

Sebagai penutup sama kita renungkan kata-kata ini yang ditulis menggunakan kaligrafi Sepanyol di sebuah gua yang terletak di Makloula, Damsyik, Syria, gua ini telah di lawati oleh seorang raja :-

أَنَا مِنَ الْعِرْقِ الْعَرَبِي صَدِيْقُ الشَّمْسِ الْقَدِيْمِ الَّذِي رَبِحَ كُلَّ شَيْءٍ ثُمَّ خَسَرَهُ

Ertinya : Saya berasal dari darah Arab merupakan seorang kawan bagi matahari yang dahulu kala yang pernah berada di dalam keadaan yang menguntungkan kemudian rugi segala-galanya.


RUJUKAN

Syauki Abu Khalil. 1993M. al-Hadarah al-Arabiah al-Islamiah, Mansyurat
Kuliah Dakwah Islamiyah. Jil. 2. Tripoli, Libya.

Maruwiah Ahmat. 2003. Sejarah Bani Umayah di Andalus. Karisma Publication
Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.


Ibnu Hayyan al-Qurthubi. Al-Muqtabis Min Abna’ al-Andalus, al-Maktabah al-Syamilah, Arab Saudi.

Al-Humairy, Sifah Jazirah al-Andalus, al-Maktabah al-Syamilah, Arab Saudi.


Ahmah Syaukat. 1981. Tarikh al-Tib Wa Adabuhu Wa A’lamuhu. Universiti Halab. Jil. 1. Halab, Syria.

Al-Humaidy, Jazwah al-Muqtabis Fi Zikri Wulah al-Andalus, al-Maktabah Al-Syamilah, Arab Saudi.


Dr. Samir Abdul Halim, Dr. Muhammad Ratib al-Nabulsi. 2003. Al-Mausu’ah al-Ilmiah Fi al-‘Ijaz al-Qurani, Jil. 2. Al-Talyani, Damsyik, Syria


Dr. Abdul Rahman Marhaba. 1989 Al-Mujaz Fi Tarikh al-Tib Wa al-Saidalah ‘Inda al-Arab. Beirut, Lubnan

Imam Malik. Syuruh al-Muwatta’. Al-Maktabah al-Syamilah, Arab Saudi.


Noranizah Binti Yusuf, Ketenteraan Islam Era Bani Umayyah Andalus: Analisis Sejarah Dan Kepentingannya.Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.


Laman sesawang  www.islamset.com/arabic/civil/cicil1

Laman sesawang  www.bahzani.net/services

Tiada ulasan: