Ahad, 21 Ogos 2011

Sejarah Sekolah Pondok Di Malaysia

PENDAHULUAN

Islam menurut kajian sejarah telah mula berkembang di kepulauan Nusantara semenjak abad ke 10 masihi lagi ketika mana para saudagar dari Timur Tengah melakukan aktiviti perdagangan yang berulang-alik dari kepulauan Arab ke Asia Tenggara. Aktiviti perdagangan ini semakin rancak menjelang abad ke 11 masihi bilamana banyak kerajaan-kerajaan Islam muncul seperti kerajaan Acheh, Melaka, Pasai dan lain-lain. Perkembangan Islam ini di pelopori oleh golongan saudagar yang melakukan aktiviti dakwah kepada penduduk tempatan didalam usaha menyebarkan agama Islam. Semangat penyebaran ini begitu kuat bila mana setiap individu ingin berjihad bagi mencari keredaan Allah. Ini diselaraskan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:

            “ Dan hendaklah ada daripada kamu sekalian satu ummah / puak yang menyeru kepada al-Khair atau kebaikan dan menyuruh dengan ma’aruf dan melarang dari perkara yang mungkar”

Begitu juga dengan sabda nabi s.a.w:

            “ Sampaikanlah kamu sekalian daripada sekalipun satu ayat dan sesiapa yang berdusta di atasku dengan sengaja maka hendaklah ia sediakan tempat duduknya dari api neraka ”

Bermula dari tujuan berdakwah kepada penduduk tempatan melalui perjumpaan-perjumpaan yang berlaku antara para pendakwah dengan mereka di rumah-rumah atau tempat beribadat mewujudkan satu bentuk pengajian yang lebih teratur dimana mereka menyediakan tempat pengajian khas berupa rumah-rumah kecil yang didirikan di sesebuah kawasan bilamana ramai dikalangan warga tempatan yang menerima dan memeluk Islam.

Mereka akan menetap di situ dalam tempoh masa yang tertentu bagi mendalami ajaran Islam. Di Tanah Melayu metod pengajian ini di beri gelaran pengajian pondok kerana bangunan pengajian adalah berupa pondok-pondok kecil. Mereka diajarkan dengan pelajaran agama terutama dalam bidang akidah serta ibadah, juga perkara-perkara yang berhubungkait dengan rukun iman, Islam dan perkara-perkara fardu ain. Menurut Haji Wan Hussein dalam karyanya Pendidikan Pondok dan Penyediaan Tenaga Ulama Orang-orang melayu yang mengerjakan haji dan telah menetap di Mekah untuk menuntut ilmu dalam tempoh masa tertentu kembali ke Tanah Melayu dan bekerjasama dengan penduduk tempatan menyediakan pendidikan agama kepada warga tempatan.

Mereka bergotong-royong mendirikan masjid-masjid dan tempat-tempat pengajian yang dikenali dengan nama pondok dan pengajian yang dilakukan adalah berbentuk halaqat dimana para pelajar akan mengelilingi guru-guru mereka bagi mendapatkan ilmu. Tujuan utama didirikan pondok adalah untuk melahirkan ulama yang dapat menentang dan menghadapi cabaran pendakwah kristian dan sebagai menyebarkan ilmu-ilmu tradisi Islam.

SISTEM SEKOLAH PONDOK

Sekolah pondok merupakan sekolah yang didirikan oleh individu dalam menjalankan misi dakwah dan satu kaedah didalam menyampaikan ilmu agama kepada penduduk tempatan. Kebanyakan sekolah pondok ini didirikan di sesebuah kawasan yang di buka melalui tanah persendirian. Sistem yang diguna pakai oleh sekolah ini dalam pengajaran adalah berbentuk halaqat iaitu murid akan mengelilingi guru dimana guru tersebut akan membaca kitab-kitab dan menerangkan tentang setiap ilmu dan murid pula akan menadah kitab dengan membuat catatan dari setiap penjelasan guru. Metod pengajaran yang dilaksanakan dalam bentuk sehala di mana guru yang menentukan jenis-jenis ilmu yang akan diajar serta jenis-jenis kitab yang di gunakan.

Majoriti kitab yang di guna pakai adalah sama dengan kitab yang di pakai oleh intitusi-institusi pengajian tinggi dari Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar. Dari sudut potensi pelajar di kesan melalui keupayaan dan ketekunan mereka menguasai kitab-kitab yang dipelajari. Para pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah pondok ini kebanyakannya akan meneruskan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi di Timur Tengah selepas tamat belajar di sekolah pondok bagi mereka yang berkeinginan menambah ilmu kerana institusi tersebut tidak menetapkan kelayakan dan kecemerlangan seseorang pelajar untuk mengikuti pengajian di sana.

Kokurikulum yang diguna pakai juga kurang teratur dan lebih ditumpukan kepada aspek ukhrawi ilmu agama sahaja, oleh yang demikian mereka agak ketinggalan dalam bidang akademik kerana menganggap ia lebih kepada duniawi. Dari sudut sukatan pelajaran pula agak lemah di mana tiada sukatan tertentu dan kitab-kitab yang diguna dibaca awal muka surat sehingga akhir dan mengambil masa yang agak lama di mana terdapat pengulangan serta pertindihan topik hingga tiada hala tuju dan pengajaran dari guru juga tidak sistematik.

Kebanyakan guru yang berkhidmat di sekolah pondok mendapat pendidikan melalui sistem pondok juga dan mereka semua tidak mendapat latihan mengajar secara formal dan mereka juga menerima gaji yang kurang dengan nasib mereka tidak terbela dengan sebaiknya serta dipinggirkan dimana mereka hanya menerima gaji dari yuran pengajian pelajar hingga menyebabkan kebanyakan mereka terlibat dalam bidang ekonomi yang lain seperti bidang pertanian dan lain-lain untuk menyara hidup mereka (Pendidikan Islam di Malaysia dari Pondok ke Universiti, Abdullah Muhammad Zain, 2005).

            Sekolah pondok merupakan satu kawasan yang mengandungi bangunan-bangunan seperti berikut, sebuah surau sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran antara guru dengan murid, rumah guru dan juga rumah-rumah kecil(pondok) yang boleh mencapai kepada ratusan buah yang menjadi penempatan bagi penuntut. Ia biasa dibangunkan di kawasan perkampungan yang jauh dari kawasan bandar.

Sekolah-sekolah pondok ini tidak meletakkan satu syarat kepada setiap penuntut yang ingin mengikuti pengajian dan ia hanya terpulang kepada kemahuan seseorang dan keizinan dari tok guru bagi sesebuah sekolah pondok. Kebiasaannnya mereka akan belajar mengenai ilmu-ilmu tradisi Islam seperti al-Quran dan tafsirnya, al-Hadis, Fiqh, Faraidh, Qawaid, Lughah Arab, nahu saraf, Balaghah dan lain-lain di mana sukatan pelajaran ini dijalankan dengan menadah kitab iaitu tok guru membaca kitab dan memberi penerangan atau penjelasan manakala para pelajar akan membuka dan mencatit apa yang dirasakan penting dari pengajaran tadi. Sistem sekolah pondok juga tidak mempunyai tingkatan kelas pelajaran yang rendah atau tinggi tetapi dinilai dengan jenis kitab-kitab yang dipelajari dalam tiap-tiap satu ilmu yang ditentukan oleh tok guru dan mereka juga tidak mempunyai peperiksaan bagi menilai tahap keupayaan murid.

Ukuran kejayaan dinilai dengan sejauh mana kefahaman murid terhadap ilmu yang dipelajari dan berkemampuan untuk mengajarnya kepada rakan-rakan yang lain. Bagi murid yang mampu memahami kitab dalam bahasa Arab, mereka akan diberi gelaran ‘alim’ iaitu mereka dianggap sebagai faqih. Tempoh masa bagi murid yang mengikuti pengajian di sekolah pondok adalah tidak terhad dimana mereka boleh tinggal dan belajar selama mana yang mereka suka. Oleh yang demikian, terdapat segelintir murid yang tinggal di pondok selama dua puluh tahun atau lebih.

Tiada ulasan: