Khamis, 11 April 2013

mengenai undi calon bukan islam dan tafsir surah al-Imran ayat 28

UNDI MUSLIM ZALIM ATAU NON MUSLIM ADIL?

Apabila berlaku pilihanraya, didapati di sesuatu kawasan DUN atau Parlimen itu, terdapat calon non Muslim dan calon bukan Islam. Antara kedua-duanya, mana satu yang perlu dipilih?
Dalam sistem demokrasi di Malaysia, perubahan sistem merupakan perkara yang penting. Sesuatu sistem yang rosak, tidak dapat ditukar dengan kemenangan seseorang individu calon, tetapi hendaklah dimenangi secara kolektif yang dikenali sebagai parti. Ekoran itu, pilihan yang perlu dilakukan oleh seseorang pengundi itu adalah berdasarkan kepada parti yang menawarkan sistem, bukan berdasarkan individu calon. Makanya, dalam kerangka demokrasi di Malaysia, dibenarkan mengundi calon non Muslim yang adil berbanding memilih calon muslim yang zalim.
Ini berdasarkan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan membinasakan sesebuah negeri yang diperintah oleh orang bukan Islam, sekiranya rakyat dalam negeri tersebut mengamalkan sistem yang baik; sistem saling melakukan pembaik pulih antara satu dengan yang lain.

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya;
“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan” (Surah Hud, ayat 117)
Menurut al-Imam Fakhr al-Din al-Razi, beliau menyatakan yang dimaksudkan dengan “negeri-negeri” dalam ayat ini merujuk kepada negeri yang diperintah oleh orang-orang yang tidak beragama Islam.

أي لا يهلكهم بمجرد شركهم إذا كانوا مصلحين يعامل بعضهم بعضاً على الصلاح والسداد

Maksudnya;
“Iaitu, Allah SWT tidak akan membinasakan mereka dengan semata-mata syirik mereka, jika mereka sering melakukan pembaik pulih; dengan berurusan setengah mereka dengan setengah yang lain dalam melakukan pembaik pulih dan bantu membantu ”
Namun begitu, terdapat sebilangan islamis yang melarang mengundi non Muslim beralasan dengan firman Allah SWT yang melarang orang Islam menjadikan orang bukan Islam sebagai wali, atau penguasa.

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Juga ayat 118 dari surah al-Imran bahawa Allah SWT melarang mengambil orang selain Muslim sebagai Bitanah atau teman kepercayaan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu” (Surah ali-Imran, ayat 118)
Penjelasan terhadap pemahaman terhadap ayat ini adalah seperti berikut;
Satu :
Ayat ini bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu-pintu haram. Ia sama seperti larangan Allah dari mencela sembah-sembahan selain Allah, kerana bimbang berlaku Maalat atau implikasi yang buruk, iaitu celaan non Muslim terhadap Allah tanpa ilmu dan prejudis.

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya;
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan” (Surah al-an’am, ayat 108)
Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan musyrikin, waima ia boleh mencapai maslahah. Namun, sebenarnya ia boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia .
Menurut Ar-Raisuni pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan tercapainya mafsadah yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela sembahan selain Allah itu dilarang .
Jadi, larangan celaan ini bersifat sad al-Zaraie. Dengan maksud, jika tidak mendatangkan implikasi yang buruk, maka ia tidak dilarang. Maka keadaan yang sama juga pada ayat larangan mengambil non Muslim sebagai pemimpin berdasarkan ayat ke 26 dan ayat 118 dari surah ali-imran.

Dua:
Maksud sad al-Zaraie adalah menutup pintu-pintu haram. Ia berasaskan kepada kaedah fiqh yang menyatakan, “perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga turut haram”

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Ia membawa maksud, sesuatu yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga turut haram. Contohnya seperti nas melarang meminum arak, maka menjual arak juga adalah haram. Juga, hukum asal menjual anggur adalah harus, tetapi menjadi haram jika dijual kepada pembuat arak.
Juga penting diambil perhatian, menutup pintu haram itu tidak semestinya diharamkan terus, tetapi dengan meletakkan syarat-syarat yang ketat, sudah tercapai maksud Sad al-Zaraie. Ini seperti ulama-ulama Islam tidak terus mengharamkan system perbankan secara mutlak, waima asalnya bank itu terlibat dengan riba. Makanya, mereka benarkan perjalanan bank dengan diletakkan syarat bahawa tidak terlibat dengan riba, gharar dan sebagainya.
Ia sama seperti penderiaan PAS yang mengizinkan perempuan menjadi calon dalam Pilihanraya dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, sedangkan di sana wujud hadis yang menyatakan larangan perempuan menjadi pemimpin .
Makanya, dalam negara yang mengamalkan system demokrasi, kerenahnya tidak sama seperti negara yang mengamalkan system monarki. Ini kerana, dalam system monarki, pemerintah itu umpama tuan kepada rakyat, sedangkan dalam system demokrasi, pemerintah umpama pekerja bagi rakyat. Dalam erti kata yang lain, pemerintah melaksanakan kehendak rakyat, dan rakyat boleh gugurkan sesuatu pemerintah berdasarkan pemilihan rakyat yang dikenali sebagai Pilihanraya atau referendum rakyat.
Disamping itu juga, dalam Negara demokrasi, seseorang yang memegang jawatan dalam negara tidak boleh melakukan tindakannya sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia tertakluk dengan undang-undang bertulis yang disepakati ramai. Dengan maksud, individu menteri yang melakukan tindakan menyalahi undang-undang bertulis, ia boleh dikenakan hukuman.
Ekoran itu, dalam kerangka demokrasi, melantik menteri dari kalangan orang bukan Islam tidak menjadi masalah untuk perlantikan non Muslim sebagai menteri, selama perlantikan itu mendatangkan kebaikan yang banyak, juga tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar berbanding kebaikan.


bloggers menambah dgn pandangan ini :-

لا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكافِرِينَ أَوْلِياءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلاَّ أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ-28-
Ayat dari surah al-Imran ayat 28 terdapat dalil :-
1-       Tidak dibolehkan menerima bantuan daripada orang kafir dalam peperangan,dalil tersebut adalah dari hadis yang daripada Aisyah r.a riwayat Muslim yang bermaksud “Kamu pulang,aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan kamu dalam keadaan kamu musyrik” hadis ini diucapkan ketika terdapat seorang lelaki ingin mengikutinya ketika perang Badar
2-       Pendapat daripada jumhur ulama daripada kalangan 4 mazhab dibolehkan untuk menerima bantuan daripada kafir/non muslim untuk bertembung dengan kafir/non muslim yang lain. Ia dibolehkan dengan syarat kafir tersebut mempunyai pandangan positif terhadap orang Islam. Ulama daripada kalangan mazhab al-Syafie pula meletakkan syarat keperluan (al-Hajat) pada menerima bantuan bukan Islam. Dalil dari hujah tersebut ialah :-
a)       Nabi Muhammad s.a.w pernah meminta bantuan daripada Safwan bin Umayyah pada peperangan Hunain seperti yang diriwayatkan oleh Muslim.
b)       Bantuan daripada Khaza’ah kepada nabi Muhammad s.a.w ketika tahun pembukaan Mekah.
c)       Qazman-munafik&musyrik- menyertai peperangan Uhud bersama sahabat-sahabat nabi yg lain.

Hadis yang diriwayat oleh Muslim daripada Aisyah yang bermaksud“Kamu pulang,aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan kamu dalam keadaan kamu musyrik” berada pada status Mansukh/dimansuh. Ia dimansuhkh/mansud melalui pertolongan Yahudi Bani Qainuqa’ kepada nabi Muhammad s.a.w dan harta rampasan perang dibahagikan kepada mereka juga.

المصدر : التفسير المنير د.وهبة الزحيلي ج 3 ص 197 -205
 

Tiada ulasan: