Rabu, 21 Disember 2011

Hikmah Menyimpan Janggut......

Sabda Rasulullah SAW, ”Cukurlah kumis dan peliharalah janggut.” (HR. Muslim)
Kajian terhadap janggut menyerlahkan satu lagi bukti saintifik tentang apa yang disunnahkan oleh Nabi kita sejak lebih seribu tahun dahulu.Dr Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan, pemilik rangkaian klinik juga seorang pendakwah, dalam satu ceramah, mendedahkan hasil kajian yang sangat luar biasa mengenai khasiat janggut. Ia bukan tunggul gerigis, bukan penyeri atau penyerabut wajah tetapi jauh lebih hebat daripada itu.

Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul The Amazing Fact of Human Body mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita.

SUBHANALLAH!
Caranya bagaimana? Hanya melalui sentuhan. Jadi kepada sesiapa yang belum punya anak kerana ada masalah kesuburan, ataupun jarang anak dan mahu dirapatkan lagi, mintalah suami simpan janggut, dan belailah selalu janggut suamimu itu.
Ini sekali gus jadi bukti apa yang disaran oleh Islam sejak zaman silam, boleh dibuktikan secara saintifik akan hikmah dan kelebihannya.

p/s: apa lagi.....amalkan apa yg rasullullah lakukan semuanya ada sbb saintifik yg tak lari dari garisan2 syariah islamiah....

Sumber Selengkapnya Disini http://www.asyrafasnawi.com/hikmah-janggut-di-sebalik-sunnah-rasulullah/#ixzz1hDoroEJb

Ahad, 18 Disember 2011

Sejarah Sekolah Pondok Di Malaysia-Part 3-

Selain itu kehadiran guru-guru yang diundang dari Timur tengah yang berbangsa Arab untuk mengajar kepada murid-murid yang mendaftar di madrsah menjadikan antara faktor penarik bagi mengikuti pengajian di madrasah atau sekolah aliran kerajaan seperti mana yang dilakukan oleh Sultan Perak yang menjemput Syeikh Abdullah Maghribi yang berbangsa arab untuk mengajar di madrasah.

Pada tahun 1916 sehingga 1941, hanya terdapat 12 buah sekolah aliran kerajaan sahaja di Besut Terengganu, akan tetapi menjelang kemerdekaan jumlahnya telah meningkat beberapa kali ganda iaitu 53 buah. Begitu juga dengan Kelantan apabila pada 1975, terdapat 323 buah sekolah rendah dan 65 buah sekolah menengah. Keadaan ini menunjukkan bahawa penerimaan masyarakat terdapat sekolah aliran kerajaan adalah sangat menggalakkan. Hal ini kerana dasar kerajaan yang ingin memberikan kepada rakyatnya menguasai dalam bidang pengetahuan. Di samping itu sekolah aliran kerajaan ini menyediakan kemudahan yang lengkap terhadap pelajarnya dengan memberikan biasiswa bagi meringankan beban pelajar yang menghadapi kesusahan, pinjaman buku teks, penyediaan kelengkapan sekolah yang sempurna dan kemudahan asrama bagi pelajar yang sukar atau jauh penempatan dari sekolah. Maka tidak hairan sekiranya ibu bapa berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran kerajaan disamping kemudahan dan prasarana yang disediakan, faktor jaminan masa depan juga terbela.

Terdapat faktor lain yang mempengaruhi penyusutan dan penutupan sekolah pondok ini bilamana ia tidak lagi memainkan peranan utama sebagai institusi yang memberikan dan melahirkan golongan ulama apabila istitusi ini di jadikan sebagai medan politik kerana ramai dikalangan ulama pondok ini menyertai dan melibatkan diri dalam parti politik yang bermula sekitar tahun 1950-an. Oleh yang demikian tugas mereka sebagai mudda’i dan murabbi sedikit tersasar apabila tidak dapat memberikan tumpuan utama terhadap anak murid dan sedikit sebanyak memberi kesan pada menarik masyarakat mengikuti pengajian pondok. Dilema yang dihadapi oleh sekolah pondok ini menjadikan ia semakin berkurangan sehingga memasuki abad ke 21.

Terdapat juga dikalangan guru-guru sekolah pondok ini menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di sekolah aliran kerajaan atau madrasah atas faktor untuk mempelbagaikan lagi bidang keilmuan atau juga supaya anak-anak mereka dapat mengikuti pengajian yang lebih sstematik. Keadaan ini secara tidak langsung menjadi faktor kepada kemerosotan bilangan murid sehingga menutup banyak sekolah pondok. ( tamadun Islam jilid 3, ismail hussein, Dewan bahasa dan pustaka 1995, ms 1184 )

Oleh yang demikian dapat di fahami bahawa pada masa kini terutama di dalam pertengahan abad ke-20 sehingga abad 21 sekolah pondok mengalami zaman kejatuhan dan kemunduran sehingga tidak lagi menjadi institusi pilihan rakyat untuk menimba ilmu malahan menerima banyak persaingan dari madrasah aliran negeri, sekolah aliran kerajaan dan sekolah Inggeris. Kurangnya sokongan masyarakat maka institusi ini tidak dapat berkembang dan dapat dibilang dengan jari kini berapa sahaja yang tinggal. Sekiranya tiada usaha dibuat maka kemungkinan besar sekolah aliran pondok ini hanya akan menjadi sebutan sejarah dalam buku teks sahaja.

Isnin, 12 Disember 2011

Daulat Tuanku....senarai penuh agung-agung di malaysia dari meredka hingga kini.

Senarai Agong

Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong:

1) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad
Mangkat: 1 April 1960 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama)
Ditabal: 2 Sept 1957
Tempoh Jawatan: 3 Ogos 1957 - 1 April, 1960

2) Sultan Selangor
Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'iddin Sulaiman Shah
Mangkat: 1 Sept 1960
Ditabal: 1 Sept 1960 (mangkat beberapa jam sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua)
Tempoh Jawatan: Menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong sejak 4 April 1960 berikutan kemangkatan Tuanku Abdul Rahman)

3) Raja Perlis
Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail
Mangkat: 16 April 2000
Ditabal: 4 Jan 1961
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1960 - 20 Sept 1965
(Raja paling muda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pada usia 40 tahun)

4) Sultan Terengganu
Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin
Mangkat: 20 Sept 1979
Ditabal: 21 Sept 1965
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1965 - 20 Sept 1970

5) Sultan Kedah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah
Ditabal: 20 Feb 1971
Tempoh Jawatan: 21 Jan 1970 - 20 Sept 1975

6) Sultan Kelantan
Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim
Mangkat: 29 Mac 1979
Ditabal: 28 Feb 1976
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1975 - 29 Mac, 1979

7) Sultan Pahang
Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah
Ditabal: 10 Julai 1980
Tempoh Jawatan: 26 April 1979 - 25 April 1984

8) Sultan Pahang
Sultan Mahmood Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail
Mangkat : 23 Jan 2010
Ditabal: 15 Nov 1984
Tempoh Jawatan: 15 April 1984 - 25 April 1989

9) Sultan Perak
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Ghafarullahulahu Shah
Ditabal: 18 Sept, 1989
Tempoh Jawatan: 26 April 1989 - 25 April 1994

10) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Mangkat : 27 Dis 2008
Ditabal: 22 Sept, 1994
Tempoh Jawatan: 16 April, 1994 - 25 April, 1999

11) Sultan Selangor
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah
Mangkat: 21 Nov 2001 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-11)
Ditabal: 23 Sept 1999
Tempoh Jawatan: 26 April 1999 - 21 Nov 2001

12) Raja Perlis
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
Ditabal: 25 April 2002
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2001 - 13 Dis 2006

13) Sultan Terengganu
Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Ditabal: 26 April 2007
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2006 - 12 Dis 2011

14) Sultan Kedah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (Dilantik untuk kedua kali)
Ditabal:
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2011
- Bernama

Ahad, 27 November 2011

Gambar sekitar hari penyampian hadiah tadika Sri Ayesha 2011

Assalamualaikum....

Bawah ini adalah gambar zaidane dan waseem di hari penyampaian hadiah tadika diorang kat bandar baru bangi.sempatlah diorang berdua buat persembahan,tapi zaidane lak yg malu2 nak buat performance.....

waseem sedang bersedia utk melakukan persembahan

menanti muzik di pasang

liriknya alif baa taa tha jim haa khaa......

clap plz clap little caliph.....

gaya seorang performer di pagi sabtu 19/11/2011

giliran zaidane pula buat persembahan

malu-malu je zaidane buat persembahan sbb nampak ayahnya nak tangkap gambar dia

liriknya aaa bbb ccc look at me you will see.....

gaya persembahan zaidane sambil tgk kamera

waseem dapat hadiah sejurus persembahan selesai

zaidane pun dpt hadiah juga

dua beradik posing dgn hadiah masing-masing dpn ofis sri ayesha

ayah dan maknya pun nak bergambar


Khamis, 24 November 2011

Sejarah Sekolah Pondok Di Malaysia-Part 2-

SEKOLAH PONDOK DI MASA KINI

Menjelang abad ke-19, Tanah Melayu telah mula menerima sistem pendidikan secular hasil dari penjajahan Inggeris selepas kejatuhan Jepun pada akhir 50-an dimana sistem ini terus berkembang tanpa dapat disekat oleh sistem pelajaran pondok dan berjaya melemahkan perjalanan sistem pendidikan Islam dalam jangka masa yang singkat kerana menerima impak positif dari kerajaan dan juga rakyat. Sejumlah besar masyarakat Melayu yang mendapat pendidikan sekular menjawat jawatan penting dalam pentadbiran negara dan masyarakat dimana dahulunya di duduki oleh penuntut dari sekolah pondok.

Sekolah-sekolah sistem pendidikan Barat ini mendapat sokongan daripada pihak pemerintah dimana sukatan-sukatan pelajaran lebih teratur dan sistematik manakala pengajaran dan pembelajaran sentiasa dikemaskini melalui latihan-latihan yang diberikan dari semasa ke semasa. Oleh demikian,sekolah-sekolah pondok ini mula melakukan penambahbaikan dalam sistem pengajaran mereka dimana mereka mula menerapkan pendidikan akademik seperti Matematik, pengajian bahasa, Sains dan sebagainya bagi menyaingi pendidikan di sekolah-sekolah sekular.

Namun begitu realiti yang berlaku dalam suasana masyarakat kini yang melihat bahawa sekolah ini seakan sudah tidak mempunyai asas kesesuaiannya berdiri bilamana kerajaan negeri membina sekolah- sekolah yang menumpukan juga ajaran agama yang seiring dengan bidang akademik seperti SMKA dan mengambil madrasah-madrasah swasta yang sebelum ini berdiri sendiri untuk dibiyayai dan di bantu. Guru-guru yang menjadi tenaga pengajar diberi latihan yang mencukupi manakala kebajikan mereka dijaga dengan sebaiknya. Mereka mendapat gaji yang bersesuaian dengan usaha yang diberikan tanpa perlu mencari pendapatan sampingan. Oleh yang demikian tugas guru sebagai murabbi dalam mendidik anak murid menjadi bangsa yang berguna dan bertakwa kepada agama, bangsa dan negara dapat ditumpukan sepenuhnya.

Melihat kepada situasi yang berlaku ini menyebabkan sekolah-sekolah pondok mula kurang menerima kehadiran para pelajar ditambah lagi dengan beberapa masalah yang selalu mencengkam sekolah pondok menyebabkan banyak sekolah pondok yang terpaksa ditutup kini. Masalah utama mengapa sekolah pondok ini tidak mampu bertahan pada masa sekarang ialahketiadaan usaha dalam mengistitusikan sekolah aliran tersebut agar kekal dan subur manakala sistem yang biasa diguna pakai pada masa kini ialah lebih kepada kaedah pewarisan sekolah pondok dan prasaranya secara totalnya kepada ketokohan pengasasnya yang digelar tok guru selaku pemilik keseluruhan sekolah-sekolah sedemikian.

Apabila mereka meninggal dunia maka sekolah pondok itu akan turut tidak bernafas sekiranya penggantinya tidak diasuh dengan sebaiknya. Tenaga pengajarnya pula kebiasaannya terdiri daripada kalangan anggota keluarga seperti anak atau menantu pengasas sekolah tersebut yang bersedia mewarisi kepimpinan dan ketokohan tok guru. Keadaan ini biasanya berlaku disebabkan sekolah pondok merupakan milik pengasas dan ia perlu menjadi harta pusaka yang perlu diagihkan secara adil kepada asnaf zuriatnya melainkan apabila ia telah di waqafkan secara lebih awal lagi.

Oleh yang demikian walau sehebat manapun sekolah tersebut dari pandangan umum, sekiranya pengasasnya meninggal maka ia tidak mampu untuk bertahan melainkan seanndai ada usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan negeri dalam mengambil alih pentadbiran.  Ini dapat dilihat melalui ucapan Menteri Besar Kelantan tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap dalam majlis peletakkan batu asas Asrama lelaki kedua Maahad Muhammadi Kelantan yang menyatakan senario yang berlaku terhadap sekolah pondok. Antara petikan ucapan beliau ialah:

"Sepatutnya, perjuangan dan penyebaran Islam tidak boleh terhenti dengan matinya pengasas. Sebagai contoh ialah Tok Kenali yang amat terkenal dengan anak muridnya turut datang dari seluruh nusantara.Tetapi, apabila dia meninggal dunia, semuanya hilang dan terus terkubur dan keadaan sama turut terjadi kepada banyak lagi sekolah pondok lain yang terkenal seperti di Bunut Payong, Kutan dan Pulai Chondong,'' Dalam keadaan itu, jika pelajarnya ingin meneruskan lagi survival, sekolah pondok terpaksa menubuhkan pusat pengajian sendiri yang bermakna dia perlu bermula daripada peringkat asas iaitu mencari pelajar dan membina reputasi”. (http://www.utusan.com.my/pix/2008/0710/Utusan_Malaysia/Timur/wt_01.1.jpg[/img]

Ahad, 2 Oktober 2011

Hudud 'tidak berperlembagaan' tidak tepat

Berkenaan dengan cadangan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu, Lim Chee Wee, Presiden Majlis Peguam Malaysia dan badan itu telah mengeluarkan beberapa hujah bahawa inisiatif itu adalah “tidak berperlembagaan”. Secara umumnya terdapat tiga isu perundangan yang beliau bangkitkan bagi melandaskan pandangan beliau. Hujahan-hujahan beliau dan badan itu yang dipetik oleh Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/news/177325) adalah seperti berikut:
Pertama, berbanding negeri, undang-undang jenayah adalah dibawah bidangkuasa persekutuan, untuk itu hukum hudud tidak boleh boleh dilaksanakan oleh negeri. Menurut Lim “undang-undang tidak membenarkan perlaksanaan hudud oleh negeri”, undang-undang yang digubal oleh negeri pula “tidak boleh memasukkan perkara yang berada dibawah kuasa perundangan kerajaan persekutuan”. Kerajaan negeri, menurutnya lagi, hanya boleh menggubal undang-undang yang berkaitan dengan “kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penganut agama Islam, yang bercanggah dengan ajaran Islam, dan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan itu.” Penggubalan undang-undang ke atas kesalahan-kesalahan itu pula, hujahnya, mestilah tidak melibatkan kesalahan yang telah digubal oleh persekutuan, dan tidak boleh wujud sebarang pertindihan dengan undang-undang persekutuan, dengan hukuman yang berbeza terhadap penganut agama Islam.

Kedua, beliau berpendapat, “undang-undang jika digubal haruslah selaras dengan kebebasan asasi yang telah dijamin ke atas rakyat , termasuk Muslim, dibawah Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan”. “Hudud yang secara asasnya satu undang-undang jenayah,yang terletak dibawah kuasa Parlimen, dan perlaksanaannya akan menyebabkan perbezaan perundangan kepada Muslim dan bukan Muslim dan ini bercanggah dengan Perkara 8 (Layanan) Sama Rata Perlembagaan Persekutuan.” Justeru katanya “seseorang Muslim boleh menerima dua pendakwaan atau sabitan (atas satu kesalahan), satu hudud dan satu lagi kanun jenayah, ini bertentangan dengan tegahan pengulangan perbicaraan (atas pertuduhan yang sama) yang termaktub dalam Perkara (7) Perlembagaan Persekutuan”.

Ketiga, dengan merujuk kes Che Omar Bin Che Soh lwn. Pendakwaraya [1988] di mana Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang Malaysia tidak perlu akur kepada undang-undang Islam, jesteru menurut Lim ini “mengesahkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.” Berdasarkan prinsip ini, jika hudud dibawa ke sistem keadilan jenayah, ia akan mengakibatkan kemasukkan undang-undang jenayah Islam ke dalam undang-undang yang sekular, dan ini adalah salah dalam undang-undang.   

Hujahan-hujahan beliau,meskipun sebahagiannya mungkin ada kebenaran, namun telah ditinjau dari paradigma perundangan yang agak terhad dan statik. Beliau secara dasarnya memberi hujah berdasarkan apa yang tertulis di dalam perlembagaan secara kasar, tetapi tidak berdasarkan apa yang tersirat di dalamnya. Yakni beliau berhujah atas landasan teori, sedangkan amalannya, di dunia sebenar adalah berbeza. Dinamism sejarah perundangan negara, sejak sebelum zaman penjajahan, zaman penjajahan dan selepas itu juga tidak ditelusuri.

Isu ketiga yang dibangkitkan beliau, “Malaysia adalah sebuah negara sekular” sebenarnya adalah pemahaman dan paradigm beliau yang paling asas terhadap sistem perundangan Malaysia. Disebabkan paradigma/andaian asas beliau tidak tepat, maka ia mempengaruhi ketepatan hujahan-hujahan yang telah dilontarkan melalui paradigma itu. Sistem perundangan Islam, yang telah wujud di negeri-negeri Melayu sebelum zaman penjajahan, diakui mengalami gugatan besar semasa zaman penjajahan. Namun, penjajahan British umpamanya, tidak pula menghapuskan perundangan Islam sama sekali, tetapi mengecilkan skop perundangan itu. Walau bagaimanapun, secara umumnya perundangan Islam, diiktiraf dan diputuskan sendiri oleh hakim-hakim British sebagai salah satu cabang dalam sistem perundangan British di Malaya. Sama seperti sistem pemerintahan beraja (juga dengan kuasa yang lebih terhad) yang dikekalkan sewaktu dan selepas penjajahan British, perundangan Islam juga kekal dalam penwujudan negara baru, iaitu Tanah Melayu pada 1957 atau Malaysia pada1963. Yakni di zaman British, bukan sahaja wujud dua sistem perundangan, Islam dan sekular, tetapi juga dua pentadbiran, pentadbiran beraja yang asasnya khususnya kepada Melayu dan pentabiran British kepada bukan Melayu dan Melayu. Meskipun pentadbiran politik telah diintegrasi setelah merdeka, tetapi sifat dwi-perundangan di zaman British dikekalkan sehingga kini. Kedudukan Mahkamah Syariah diiktiraf dan dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan, meskipun dengan skop yang terhad. Berdasarkan perlembagaan negeri-negeri pula, Jabatan Agama Islam ditubuhkan bagi mentadbir dan melaksana beberapa cabang dalam perundangan Islam, termasuk jenayah Islam seperti khalwat, zina, minum arak dan berjudi. Malah dalam kesalahan-kesalahan ini, kerajaan persekutuan menyediakan pasukan polis bagi membantu Jabatan Agama Islam menjalankan fungsinya. Justeru itu, negara Malaysia dan perundangannya tidaklah sepenuhnya sekular, tidak juga sepenuhnya Islam. Ia adalah satu sistem hybrid/campuran yang mengintegrasi undang-undang Islam dan sekular dalam unit politik yang sama. Inilah yang berlaku di zaman British, dan ini juga yang diamal sehingga kini.

Inilah sifat umum undang-undang dan perlembagaan Malaysia, ia adalah dinamik. Skopnya boleh dikecilkan atau diperluaskan menurut autoriti semasa. Meskipun hukum syarak dan hudud itu wajib dilaksanakan oleh penganut Islam, namun jika disekat oleh penguasa, sebagaimana di zaman British, maka sebahagian besar perlaksanaannya terhalang.
Begitu juga prinsip ketertinggian perlembagaan yang menjadi pegangan asas Lim. Prinsip ini meskipun ada kebenarannya dan ditulis dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan, tetapi lebih kepada teori semata-mata. Secara praktiknya, ketertingian perlembagaan ditenggelami oleh kuasa Parlimen. Ini berikutan Parlimen mempunyai kuasa untuk mengehad pemakaian perlembagaan antaranya dengan perlaksanaan akta-akta tertentu (seperti ISA,OSA, Akta Polis). Parlimen juga mempunyai kuasa untuk meminda atau menghapuskan (jika perlu) pelbagai peruntukkan dalam perlembagaan. Untuk itu, kuasa dan sifat perlembagaan Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya, tidaklah mutlak dan stattik, ia boleh diubah bagi disesuaikan dengan aspirasi rakyat melalui kerajaan yang dipilih mereka.

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Agung pada 1998 bahawa “undang-undang Malaysia tidak perlu akur kepada undang-undang Islam” tidak semestinya bermaksud Malaysia adalah sekular. Jika benar negara Malaysia ini sekular, mengapa ada Jabatan Agama Islam untuk mentadbir dan melaksanakan pentadbiran dan undang-undang Islam? Mengapa pula ada Mahkamah Syariah bagi mentadbir sistem keadilannya? Mengapa juga berkhalwat, berzina, minum arak dan berjudi menjadi kesalahan bagi orang Islam dan dikenakan tindakan oleh penguasa? Justeru hujahan kehakiman yang dilontarkan oleh hakim dalam Mahkamah Agung 1988 jika dijadikan alasan untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular adalah sesuatu tidak tepat. Bukan sekadarnya bercanggah dari apa yang diamalkan, tetapi boleh menjadikan apa yang diamalkan itu pula yang menjadi kesalahan. Hal ini perlu diperbetulkan dan keputusan mahkamah itu adalah terbuka kepada pelbagai tanggapan. Untuk itu kemasukkan undang-undang jenayah Islam dalam undang jenayah sekular juga tidak menjadi satu yang salah, kerana sebagaimana yang telah dihujahkan, negara ini tidak pernah sepenuhnya sekular, dan undang-undang Islam telah dipraktikkan bersama-sama undang-undang sekular sejak sekian lama. Perlaksanaan hudud di Kelantan bukan sahaja membesarkan skop undang-undang Islam di negeri itu, tetapi memberikan kembali hak kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud ke atas penganut beragama Islam yang telah dinafikan sejak penjajahan British.
Dalam menjawab isu pertama pula berkenaan undang-undang jenayah adalah dibawah kuasa persekutuan dan kerana itu hudud tidak boleh dilaksanakan oleh negeri juga adalah sesuatu yang agak kabur. Zina, khalwat dan minum arak adalah jenayah besar dalam agama Islam. Dan ia dan pelbagai lagi yang lain seperti pelacuran dan subahat termaktub dalam beberapa Akta/Ordinan/Enakmen Mahkamah Syariah di negeri dan di Wilayah Persekutuan. Justeru secara praktiknya, hal jenayah juga adalah hak negeri dan ia telah termakhtub dan diamalkan di negeri-negeri melalui undang-undang Islam. Meskipun kebanyakkannya adalah jenayah dari sudut Islam, namun ada juga jenayah yang sifatnya lebih universal seperti pelacuran dan subahat dilaksanakan di peringkat negeri melalui Jabatan atau Majlis Agama Islam, di Johor dan di Kelantan umpamanya. Justeru, teori yang menyatakan bahawa undang-undang jenayah adalah dibawah bidangkuasa Persekutuan adalah kurang tepat. Pada praktiknya ia digubal, dipinda dan dilaksana oleh badan negeri.Kesalahan yang lebih universal itu pula (seperti bersubahat atau perlacuran), mungkin pada amnya nampak bertindih, namun pada praktiknya ia boleh dibezakan ke atas pesalah Islam dan bukan Islam. Hal ini telah menjadi amalan sejak sekian lama, dan secara umumnya tidak membawa masalah yang besar.

Berkenaan dengan hukum hudud boleh menyebabkan ia melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuaan atas kemungkinan layanan dan hukuman yang berbeza kepada pesalah yang melakukan kesalahan yang sama tetapi menganut agama yang berbeza, maksud Perkara itu harus diperhalusi secara mendalam dan lebih luas. Apa yang dituntut dalam Perkara 8 bukanlah layanan sama rata hanya pada nama (secara nominal), tetapi layanan berdasarkan kepada keadilan substantif. Sedang hudud itu wajib ke atas Muslim, dan hukum itu sekiranya digunapakai, maka adalah lebih adil kepadanya untuk dibicara mengikut hukum Islam. Perbuatan zina umpamanya, ia mungkin tidak menjadi kesalahan bagi orang bukan Islam, tetapi adalah satu kesalahan jika dilakukan oleh orang Islam. Dan ini amalan kita sejak sekian lama. Adakah adil jika orang bukan Islam dibicara kerana berzina? Dan adakah adil pula jika orang Islam tidak dibicara kerana berzina? Tetapi jika kita hendak menggunakan Perkara 8 secara nominal, sepatutnya Muslim tidak perlu dibicarakan dalam perbuatan zina, atau bukan Muslim pula harus dibicarakan dalam Mahkamah Syariah. Justeru, inilah keadilan substantif, meletakkan sesuatu (keadilan) pada tempatnya. Bukan secara umum, atau membuta tuli. Ini juga mungkin adalah semangat sama rata yang lebih luas yang dimaksudkan dalam Perkara 8.Tentang pertindihan pendakwaan pula kepada Muslim pula, meskipun secara teori wujud, tetapi ia boleh diminimalkan dengan pemakaian peruntukkan perlembagaan yang telah menghalang mana-mana tertuduh pesalah daripada didakwa dua kali.

Akhir sekali, jika perlembagaan persekutuan dipinda bagi membolehkan perlaksanaan hudud negeri, maka lebih mudahlah mitos bahawa melaksanakan hudud “tidak berperlembagaan” dipatahkan. Sedangkan kuasa perlembagaan itu tidak mutlak dan termakhtub (boleh diubah) kepada aspirasi rakyat. Namun, jika perlembagaan persekutuan tidak dipinda sekalipun, pandangan bahawa melaksanakan hudud “tidak berperlembagaan”, sebagaimana yang telah dihujahkan, adalah tidak tepat.

Penulis adalah pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia.
sumber:harakahdaily.net

p/s: menarik juga artikel ini,seolah2 memberi gambaran perlembagaan malaysia yg ada kini masih luas utk diterjemahkan.moga2 undang2 islam yg wujud dulu sebelum zaman penjajahan digunapakai semula di tanah melayu....

Sabtu, 3 September 2011

Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera
Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?

sumber: harakahdaily.net penulis: Mohamed Hadi al-Majwi