Khamis, 21 Julai 2011

Perkembangan Perubatan di Andalus siri 8

KESIMPULAN
Setelah melihat apa yang telah diusahakan oleh tokoh-tokoh perubatan di Andalus kita sebagai umat Islam yang membaca dan menilai sejarah boleh meletakan serta membayangkan betapa tinggi keinginan dan motivasi semua pihak dari kerajaan hingga ke orang awam sama-sama ingin memajukan diri di dalam bidang ilmu secara am atau dalam bidang perubatan secara khusus. Visi dan misi yang dirancang belum tentu akan berjaya jika tidak mendapat sokongan dari semua pihak. Pihak yang menjadi pemain utama untuk membentuk suasana keilmuwan ini ialah kerajaan atau pihak pemerintah. Pihak pemerintah perlu mempunyai keinginan untuk membentuk visi yang akan terlaksanana. Sekalipun al-Quran dan hadis ada menerangkan keperluan untuk terus menggali ilmu malah terdapat juga motivasi dari dua sumber utama bagi Islam ini tetapi pemerintah yang mempunyai kuasa dan kemampuan yang tidak terbatas untuk menggerakan segala-gala yang berkaitan dengan usaha memartabatkan ilmu.

 Suasana yang aman serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan segala perancangan dapat bergerak seperti yang dirancang. Inilah yang terjadi kepada pergerakan pengamal perubatan di Andalus hingga dapat menarik ramai ilmuwan untuk mencurah kepakaran yang di miliki tanpa mengenal ras dan bangsa sekaligus memberitahu kepada kita kerajaan ini amat terbuka malah begitu bertoleransi terhadap aspek-aspek yang membawa kebaikan kepada semua orang. Suasana sebegini boleh disimpulkan kedatangan orang Islam ke satu-satu tempat bukanlah untuk dijajah tetapi lebih kepada untuk memakmurkan tempat tersebut. Secara tidak langsung mengesahkan Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam. Dalam menyimpulkan apa yang telah terjadi, apakah yang mendorong malah memberi motivasi kepada pemerintah dan orang Arab dan Islam ketika itu untuk mencipa satu tamadun yang hebat hingga kini masih disebut dan dikaji kejayaannya. Terdapat beberapa sebab yang mendorong hingga membolehkan aktiviti keilmuan dan akademik ketika itu begitu tinggi antaranya ialah:- 

  • Pencampuran dan pergaulan masyarakat Arab dengan bangsa-bangsa lain ketika membuka tempat-tempat baru, dengan cara ini telah membuka mata bangsa Arab terhadap kebudayaan dan falsafah baru. Kebudayaan dan falasah baru ini menyebabkan bangsa-bangsa Arab ketika berminat dan ingin mengenali dan meluaskan pengetahuan mereka terhadap kebudayaan dan falsafah yang baru ini malah secara tidak langsung mengembangkan corak pemikiran bangsa Arab.

  • Keperluan dan keinginan bangsa Arab untuk mencari ilmu pengetahuan yang tidak ada pada mereka sebelum ini. Antara yang menjadi tumpuan bangsa Arab ketika itu antaranya ialah perubatan, matematik dan penentuan waktu yang tepat untuk menentukan waktu-waktu solat, menentukan permulaan bulan puasa, haji dan awal tahun hijrah.

  • Dorongan dan motivasi yang banyak dari ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mendorong manusia untuk memerhati sekeliling, menggunakan akal dan membaca. Dari saranan ini bangsa Arab yang kebanyakkan beragama Islam terus menyahut seruan yang berpaksikan wahyu.

  • Kemajuan ilmu bergantung kepada kemajuan tamadun. Satu kerajaan atau tamadun yang maju dari sudut politik dan ekonomi memunculkan satu keadaan yang amat mewah dan kegiatan pembangunan juga makin rancak dan muncul dengan banyak. Keadaan yang begini mendorong diri untuk mengadbikan diri kepada kegiatan pemikiran dan intelektual dan menuntut ilmu.
  • Keprihatinan penguasa atau khalifah terhadap aktivi ilmu samada penulisan atau penterjemahan hingga memberi penghargaan atau upah kepada penulis atau penterjemah dengan menghadiahkan emas. Bukan saja dari kalangan pemerintah yang memberi penghargaan terhadap usaha begini malah terdapat juga di kalangan keluarga-keluarga tertentu yang memberi penghargaan berupa wang kepada penulis atau penterjemah.
Apakah kata yang paling sesuai untuk menggambarkan kejayaan yang telah terhasil dari sebuah tamadun yang gemilang ini. Sebagai umat Islam yang melayari sejarah yang telah tercipta ini bukan sekadar untuk bermegah dengan kegemilangan lampau tetapi perlu meneruskan usaha untuk mengembalikan kegemilangan yang telah lama hilang dari tangan umat Islam. Pencapaian yang telah dihasilkan ini dapat dilihat dari beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan mengenai Andalus atau Sepanyol pada masa kini. Kejayaan ini telah mendapat pengiktirafan dimana-mana sahaja. Di dalam muktamar mengenai tamadun Arab dan Islam yang dilakukan di Universiti Broston, Washington, Amerika Syarikat tahun 1953 telah mengeluarkan resulusi yang menunjukkan setiap bukti memberi kepastian yang amat sangat bahawa ilmuwan barat berhutang dengan kewujudan tamadun Arab dan Islam. Metodologi yang dilakukan oleh ilmuwan barat di dalam kajian dengan menggunakan kaedah uji kaji, kajian, pencarian dan membuat catatan ini semua diambil dari hubungan yang telah berlaku di antara ilmuwan Islam dan barat, iaitu diambil dari satu tamadun yang lahir di benua Erpoah iaitu Andalus.

Sekalipun terdapat usaha barat untuk menggelapkan usaha yang telah dilakukan oleh ilmuwan Islam ketika barat cuba untuk menghidupkan semula kebudayaan dan falasafah Greek dengan cara menghilangkan kesan tapak tangan atau kesan jari orang-orang Islam di dalam usaha penterjemahan, pengakajian, penyususanan, pembetulan dan mentashih. Mereka dengan penuh gigih mencuba untuk menghubungkan tamadun-tamadun lama seperti Greek dan Rom secara langsung dengan kebudayaan barat. Usaha yang dilakukan oleh barat untuk memutuskan segala kesan-kesan ini tidak berjaya, malah setiap kali mereka cuba untuk menggelapkan sumbangan tamadun Islam ini semakin mereka menghadapi satu kekangan untuk menghilang kesan dan tinggalan ilmuwan Islam ini, malah mereka pula menjaga hasil kerja orang Islam dari diselewengkan.
Kegemilangan Andalus ini lebih-lebih lagi di dalam bidang keilmuan ini memang mendapat pengiktiran di mana-mana. Menjadi kewajipan kepada kita untuk terus menggali permata yang telah hilang ini dengan menggali segala karya-karya yang menggambarkan kegemilangan di bumi bertuah itu. Jika di lihat kepada sumbangan yang diberi oleh Andalus telah menarik ramai pengakaji barat hingga mereka mengungkap kata-kata yang positif dan indah bagi sumbangan yang dihasilkan ini hingga meletakan Andalus sebagai sebuah tempat yang berbeza dari tempat-tempat lain yang dikenali di dalam sejarah. Andalus adalah sebuah tempat yang mempunyai kebebasan yang menyeluruh dan keadilan dalam semua aspek yang pernah terjadi di dalam sejarah pembukaan golongan Arab dan Islam bagi mana-mana tempat. Kejayaan yang dihasilkan sama ada dari golongan Islam atau Yahudi ianya diiktiraf sebagai kejayaan tamadun Arab dan Islam. Bagi Andalus sendiri telah menjadi kuasa yang kuat sebanyak dua kali, pertama pada kurun ke empat hijrah atau kurun ke sepuluh masihi iaitu pada zaman Abdul Rahman al-Nasr manakala pada kedua kalinya pada kurun ke enam belas masihi adalah zaman yang paling mithali dan gemilang di dalam sejarah tamadun Arab dan Islam. Kegemilangan yang dicapai ini terpancar dari kata-kata seorang pemikir Sepanyol berkata pembukaan Islam ke atas Andalus membawa bersamanya segala kebaikan.

Suasana ilmu yang meliputi bumi Andalus ketika itu pada penulis suasana yang sepatutnya bagi umat Islam masa kini, malah terdapat kajian dilakukan mengenai tahap pembacaan di kalangan negara-negara Islam masih rendah berbanding dengan negara-negara yang bukan Islam. Dengan pembacaan yang kerap membolehkan sesorang itu mendapat ilmu dan terus dahagakan ilmu hanya dengan ilmu sahaja yang mampu menjadikan manusia itu dihormati malah mendapat tempat yang tertinggi disisiNya. Kemampuan golo ngan ilmuwan di Andalus ketika itu boleh digambarkan mereka amat-amat memahami banyak saranan dari wahyu ilahi samada al-Quran dan hadisnya untuk memberi manfaat kepada sesiapa sahaja di alam ini, antaranya yang dapat di lihat dari hadis ini:-

أَفْضَلُ الْأَعْمَالِ اَلْعِلْمُ بِاللهِ وَاِنَّ الْعِلْمَ يَنْفَعُكَ مَعَهُ قَلِيْلُ اْلعَمَلِ وَكَثِيْرُهُ وَاِنَّ الْجَهْلَ لَا يَنْفَعُكَ مَعَهُ قَلِيْلُ الْعَمَلِ وِلَا كَثِيْرُهُ

                                                                                      رَوَاهُ اَلْحَكِيْمُ



Ertinya: Sebaik-baik amalan ialah ilmu, demi Allah dan sesungguhnya ilmu memberi manfaat kepada kamu sama ada kamu beramal dengannya (ilmu) sedikit atau banyak dan sesungguhnya kejahilan itu tidak memberi manfaat kepada kamu sama ada kamu beramal dengannya sedikit atau banyak.

Sekalipun barat menguasai bidang perubatan dan lain-lain disiplin ilmu kini, tetapi ianya tidak akan sama dengan apa yang telah dihasil dan dicapai oleh tamadun Islam dahulu. Sebab utama tamadun barat tidak boleh mencapai tahap yang dicapai oleh tamadun Islam kerana mereka hanya mengambil ilmu ini dari sudut material tanpa mengambil sama sudut rohani yang merupakan benteng dari menyelamatkan ilmu dan ilmuwan daripada diseleweng mengikut hawa nafsu. Di bawah ini juga penulis meletakan sebuah kata-kata yang terhasil setelah melihat kegemilangan yang di hasilkan di Andalus dan tidak dapat di ikuti oleh tamadun barat kerana sebab yang telah dinyatakan pada awal tadi. Tidak perlu di terangkan lagi bagaimana situasi yang tamadun barat yang dibina sama ada masa zaman empayer Rom atau pada masa kini, jelas lagi tersuluh kebajetan akhlak telah meranapkan tamadun Rom dulu dan mungkin kemajuan barat kini pula menanti saatnya.

Sebagai penutup sama kita renungkan kata-kata ini yang ditulis menggunakan kaligrafi Sepanyol di sebuah gua yang terletak di Makloula, Damsyik, Syria, gua ini telah di lawati oleh seorang raja :-

أَنَا مِنَ الْعِرْقِ الْعَرَبِي صَدِيْقُ الشَّمْسِ الْقَدِيْمِ الَّذِي رَبِحَ كُلَّ شَيْءٍ ثُمَّ خَسَرَهُ

Ertinya : Saya berasal dari darah Arab merupakan seorang kawan bagi matahari yang dahulu kala yang pernah berada di dalam keadaan yang menguntungkan kemudian rugi segala-galanya.


RUJUKAN

Syauki Abu Khalil. 1993M. al-Hadarah al-Arabiah al-Islamiah, Mansyurat
Kuliah Dakwah Islamiyah. Jil. 2. Tripoli, Libya.

Maruwiah Ahmat. 2003. Sejarah Bani Umayah di Andalus. Karisma Publication
Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.


Ibnu Hayyan al-Qurthubi. Al-Muqtabis Min Abna’ al-Andalus, al-Maktabah al-Syamilah, Arab Saudi.

Al-Humairy, Sifah Jazirah al-Andalus, al-Maktabah al-Syamilah, Arab Saudi.


Ahmah Syaukat. 1981. Tarikh al-Tib Wa Adabuhu Wa A’lamuhu. Universiti Halab. Jil. 1. Halab, Syria.

Al-Humaidy, Jazwah al-Muqtabis Fi Zikri Wulah al-Andalus, al-Maktabah Al-Syamilah, Arab Saudi.


Dr. Samir Abdul Halim, Dr. Muhammad Ratib al-Nabulsi. 2003. Al-Mausu’ah al-Ilmiah Fi al-‘Ijaz al-Qurani, Jil. 2. Al-Talyani, Damsyik, Syria


Dr. Abdul Rahman Marhaba. 1989 Al-Mujaz Fi Tarikh al-Tib Wa al-Saidalah ‘Inda al-Arab. Beirut, Lubnan

Imam Malik. Syuruh al-Muwatta’. Al-Maktabah al-Syamilah, Arab Saudi.


Noranizah Binti Yusuf, Ketenteraan Islam Era Bani Umayyah Andalus: Analisis Sejarah Dan Kepentingannya.Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.


Laman sesawang  www.islamset.com/arabic/civil/cicil1

Laman sesawang  www.bahzani.net/services

Ahad, 19 Jun 2011

SAINTIS PERANCIS MEMELUK ISLAM SETELAH MENGKAJI MAYAT FIRAUN

Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet. Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.
Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Kisah Firaun di dalam al-Quran

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan. Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan. Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge. Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

sumber:https://kerangs.net

Khamis, 2 Jun 2011

Perkembangan Perubatan di Andalus siri 7

KELEBIHAN PERUBATAN ANDALUS

Setelah di nyatakan perkembangan hingga terbentuknya tokoh-tokoh perubatan dari Andalus ini. Kelebihan yang ada pada tokoh-tokoh ini membolehkan terbentuknya kaedah perubatan yang tersendiri malah menjadi ikutan oleh pengamal perubatan terutamanya dari barat. Kelebihan yang dimiliki ini adalah merupakan kesinambungan dari usaha-usaha yang telah di mulakan sejak awal lagi pada tamadun-tamadun Islam sebelumnya. Kegemilangan yang di capai oleh kerajaan Islam sebelum kelahiran kerajaan di Andalus memang menyeluruh. Dengan kata lain usaha-usaha yang di lakukan sejak abad kedua hijrah atau abad kelapan masihi dapat teruskan dan digarap dengan lebih baik lagi. Ungkapan terima kasih adalah ungkapan yang sesuai bagi apa telah di usahakan Baghdad kerana telah melahirkan satu cara baru dalam bidang ini dengan menggunakan kaedah pengujian dan catitan dari ujian yang di lakukan. Apa yang di lakukan oleh tokoh-tokoh perubatan dari Andalus ini menonjolkan mengenai usaha mereka tanpa jemu untuk mendalami setiap ilmu dan melakukan kajian lebih terperinci dalam bidang yang boleh dikatakan agak mencabar kerana melibatkan tubuh badan manusia malah kejayaan yang terhasil ini juga menandakan kerjasama dan hubungan intelek dengan dunia Islam luar Andalus sentiasa wujud. Seterusnya di bawah ini boleh di lihat kelebihan yang terdapat di dalam perubatan dari Andalus ini:-

  • Tokoh perubatan di Andalus di anggap sebagai pengamal perubatan yang bertuah kerana bentuk muka bumi yang ada di situ begitu sesuai untuk melakukan pelbagai jenis kajian dan eksperimen. Ini kerana di Andalus terdapat berbagai-bagai tumbuh-tumbuhan yang sesuai untuk di jadikan ubat malah kaya dengan pelbagai jenis hasil bumi. Anugerah yang di milik ini mendorong tokoh-tokoh dalam bidang perubatan untuk bekerja dengan lebih gigih lagi dalam menghasilkan ubat baru untuk menyembuhkan penyakit-penyakit, usaha yang gigih ini di sertai dengan kemunculan penulisan-penulisan mengenai tumbuhan yang dapat menyembuhkan penyakit tetapi dalam masa yang sama mereka juga adalah golongan yang pakar dari aspek bahasa hingga mampu melakukan terjemahan dari karya perubatan dari bahasa asing ke Bahasa Arab seperti terjemahan yang di lakukan terhadap kitab al-Hasya’ish tulisan Disagurides, terjemahan ini di lakukan pada pemerintahan khalifah Abdul Rahman al-Nasir. Kemampuan tokoh-tokoh perubatan ini telah menonjolkan kehebatan yang mereka dalam beberapa disiplin ilmu, antara tokoh-tokoh yang telah melakukan usaha sebegini ialah Ibnu Jaljal dan Ibnu Wafid. Usaha yang telah di lakukan oleh tokoh-tokoh ini kebanyakkannya telah diterjemah ke bahasa asing yang lain.

  • Kelebihan yang ada pada tokoh-tokoh perubatan ini tidak hanya terhad di dalam skop mengkaji dan mencipta ubat untuk menyembuhkan penyakit tetapi tokoh-tokoh ini juga mampu mengenal pasti penyakit yang berkemungkinan akan muncul di kawasan-kawasan yang terletak di bawah pemerintahan khalifah al-Umawi Andalus ini. Al-Zahrawi dapat mengenal pasti beberapa kawasan di Andalus terdedah kepada pendarahan malah beliau juga menyediakan cara-cara untuk mengelak berlakunya spendarahan di kawasan-kawasan tersebut. Cara yang digunakan oleh al-Zahrawi ini digunakan juga oleh Ibnu Zahar dalam mengenal pasti beberapa penyakit yang muncul di Marrakesh, Maghribi.

  • Tokoh-tokoh perubatan di Andalus mengambil berat tentang penjagaan kesihatan dan mencegah diri daripada terkena penyakit. Ini dapat di lihat dari kemunculan karya khusus mengenai kesihatan dan penjagaan diri daripada di hinggapi penyakit seperti karya yang di tulis oleh Ibnu Khalsun dan Ibnu al-Khatib al-Silmani.

  • Kelebihan yang di miliki oleh tokoh-tokoh perubatan ini juga jelas kelihatan pada kemampuan mereka dalam menguraikan beberapa penyakit yang berjangkit dan juga penyakit yang berbahaya malah memberikan sebab kepada kemunculan penyakit atau wabak yang muncul di sertakan juga cara-cara mengelak dan mengatasi penyakit-penyakit ini. Antara karya yang membicarakan hal sebegini ialah buku Kitab al-Ansari menghuraikan penyakit taun.

  • Bidang pembedahan juga mendapat perhatian dari tokoh-tokoh perubatan yang berada di Andalus ini. Mereka mejadikan bidang pembedahan ini sebagai satu disiplin ilmu yang berdiri dengan sendirinya seperti yang di lakukan oleh al-Zahrawi di dalam karya al-Tasrif.

  • Karya-karya yang di hasilkan oleh tokoh-tokoh perubatan dari Andalus ini di tulis dengan gaya bahasa yang mudah di fahami, mempunyai kecantikan susun kata dari sudut bahasa dan malah segala istilah di terangkan secara terperinci serta tidak sulit untuk memahami setiap yang istilah yang di kemukan. Tokoh-tokoh tersebut antaranya ialah Ibnu Talmus, Ibnu Khalsun dan Ibnu Khatimah.

  • Andalus merupakan lorong utama dalam mengembangkan ilmu ke Eropah ketika itu. Disiplin ilmu yang di pindahkan ke Eropah tidak hanya melalui usaha yang di lakukan melalui terjemah tetapi juga melalui pergaulan hidup seharian orang-orang Eropah dengan masyarkat Islam di Andalus, malah pergaulan mereka juga tidak hanya terhad kepada orang-orang Islam tetapi juga kepada bangsa-bangsa lain seperti bangsa Yahudi dan Kristian tempatan. Melalui cara ini orang-orang Eropah dapat mengambil segala ilmu pengetahuan yang lahir dengan mudah malah dapat juga di pindahkan ke negara-negara Eropah yang lain.

Ternyata kenyataan di atas memberi bayangkan kepada kita kelebihan dan keistimewaan yang ada pada pengamal perubatan Andalus samada dari gerak kerja mahu pun gerakan terjemahan yang di lakukan oleh tokoh-tokoh tersebut. Menariknya juga untuk di perkatakan disini, konsep cintakan ilmu benar-benar wujud di kalangan masyarakat Andalus tidak kira dari apa bangsa sekalipun, suasana ini benar-benar menggamit orang-orang Eropah untuk mendalami segala ilmu yang terdapat di Andalus secara amnya atau perubatan secara khususnya. Malah dari sudut yang lain benar-benar kelihatan semua penganut agama-agama samawi berganding bahu untuk menjayakan setiap kajian, terjemahan mahupun projek mengenai perubatan yang di jalankan. Secara kasarnya kita dapat melihat masyarakat Andalus yang mempunyai berbagai-bagai agama saling hidup harmoni dan saling membantu untuk mengejar kejayaan dalam lapangan ilmu perubatan. Kerjasama yang erat ini membuahkan hasil yang tidak terhingga dalam menilai kelebihan yang terdapat di dalam ilmu perubatan di Andalus ini.  Disiplin ilmu ini telah menyaksikan satu pemikiran yang jelas lagi sempurna bagi pemikiran Islam dan Arab, aliran pemikiran yang muncul ini menggambarkan kepada kita semacam ada satu kesepaduan dan kesatuan yang saling kait mengait antrasa satu sama lain hingga mampu muncul sebagai seumber rujukan bagi segenap masyarkat ketika itu malah idea yang telah terhasil itu digunakan hingga kini di seluruh dunia yang mengamalkan perubatan.

Ahad, 1 Mei 2011

Perkembangan Perubatan di Andalus siri 6

PERGERAKAN TERJEMAHAN


Usaha dan pergerakan terjemahan ini memang tidak dinafikan memainkan peranaan penting di dalam perkembangan perubatan di Andalus, seperti yang telah disebut sebelum ini karya-karya milik tamadun lampau menjadi minat ilmuwan-ilmuwan Islam untuk mengkaji dan meniliti lebih mendalam lagi. Usaha yang telah dilakukan oleh al-Hakam al-Thani juga begitu penting di dalam pergerakan penterjamahan pada zaman pemerintahan kerajaan Islam al-Umawi di Andalus, dikatakan beliau telah berusaha untuk melakukan penterjemahan buku-buku yang ditulis di dalam bahasa Latin dan Greek ke bahasa Arab, di tambah pula beliau sendiri juga mempunyai perpustakaan yang menyimpan begitu banyak buku di dalam bentuk manuskrip di dalam perpustakaan beliau sendiri.

Di dalam terjemahan yang begitu banyak sudah tentu ada satu kaedah yang perlu diikuti agar terjemahan yang dilakukan itu tidak menyimpang dan menyeleweng dari buku yang diterjemah. Metodologi yang digunakan ini menjelaskan kepada kita golongan ilmuwan ketika itu begitu beretika di dalam melakukan gerak kerja ilmiah ketika itu. Metodologi yang digunakan oleh ilmuwan ketika itu ialah:-

• Menyemak kembali beberapa salinan daripada kitab yang digunakan untuk melakukan terjemahan.

• Mengenal pasti dan memilih salinan yang boleh dipercayai dan digunakan pakai.

• Melakukan penyemakan terhadap terjemahan yang pernah dilakukan sebelum ini untuk mengambil faedah yang mungkin diperolehi dari semakan tersebut.

• Mengenal pasti segala kesalahan yang ada dan melakukan pembetulan.

• Membahagikan tugasan kepada beberapa unit yang dibahagikan kepada beberapa orang yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas tersebut serta kerja penterjemahan tersebut dilakukan beberapa peringkat.

• Terjemahan yang dilakukan dari bahasa lain ke bahasa Arab dilakukan sebanyak tiga peringkat. Peringkat pertama sesorang akan melakukan terjemahan dari bahasa Greek ke bahasa Siryan kemudian orang yang kedua pulak melakukan terjemahan dari bahasa Siryan ke bahasa Arab. Pada peringkat yang terakhir sesorang akan melakukan semakan dan meneliti terhadap terjemahan yang dilakukan agar tidak ada kesilapan berlaku.

Melalui pergerakan penterjemahan ini kebudayaan dan falsafah Arab bercampur dengan kebudayaan dan falsafah bangsa-bangsa lain di dalam pemikiran bangsa Arab ketika itu. Faktor ingin mendalami sesuatu ilmu telah memberi peluang kepada bangsa Arab itu sendiri untuk mengembangkan kemajuan untuk umat manusia. Malah kehebatan tamadun Arab dan Islam menjadi lebih gagah hebat hasil pergerakan penterjemahan ini, kehebatan itu terserlah di dalam lapangan ilmu dan intelek secara tidak langsung pergerakan ini juga telah melahirkan beberapa istilah perubatan di dalam bahasa Arab yang tidak pernah ada pada zaman sebelumnya.

Jumaat, 1 April 2011

Salasilah Keluarga Saya


Salasilah Keluarga Saya

Datuk sebelah ayah saya yang berkaca mata hitam namanya Kamaruzzaman Abdul Karim, didepannya adalah arwah opah saya Saerah Binti Pandak Ahmad.Gambar ini dirakam sekitar tahun 1969 bersama adik-beradik serta anak-anak saudara.Ayah saya duduk mencangkung empat dari kiri di barisan kedua dari barisan hadapan. Zaman dulu untuk bergambar susah tapi kini semuanya mampu bergambar hingga sanggup tanggung beg kamera besar hulu ke hilir jadi juru gambar tak berapa profesional.

Melayu dan Fintah Adalah Sinonim Dari Zaman Hang Tuah,Mahsuri dan Terkini...

Melayu mengalami krisis peradaban


"Isu Video Lucah bagi masyarakat adalah krisis peradaban kaum Melayu yang sudah cukup lama terbeban dengan sejarah semacam ini melalui peristiwa-peristiwa sejarah bangsa Melayu yang turut mengheret krisis yang sama," kata beliau.

Prof Abu Hassan turut menyingkap kembali sejarah Melayu yang menurutnya adalah bukti kepada sikap sesetengah orang Melayu yang menggunakan fitnah sebagai senjata politik mereka semenjak zaman dahulu lagi.

"Hang Tuah difitnah berzina dengan gundik raja, sehingga menyebabkan dia terhukum bunuh dan seterusnya mencetuskan kebangkitan revolusi Hang Jebat yang kemudian menyebabkan pertempuran saudara di Melaka.

"Begitu juga fitnah ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang dituduh berzina dengan seorang pemuda di Temasik akhirnya menyebabkan pergelutan antara dua kuasa dan menyebabkan penjajahan Majapahit ke atas Singapura.

"Kita juga diberitahu dalam sejarah tentang kisah Mahsuri yang dituduh berzina dengan Deramang yang menyebabkan pembunuhan ke atas Mahsuri, jadi isu-isu ini adalah berhubungan dengan politik Melayu.

"Dalam keadaan bangsa lain telah berjaya mencipta Google, Facebook, Twitter, iPad, dan sebagainya sedangkan bangsa kita pula tidak habis-habis hidup seperti apa yang dilalui oleh Hang Tuah, Sang Rajuna Tapa dan Mahsuri," jelas beliau.

Bagaimanapun menurutnya lagi, misi untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sia-sia apabila Ketua Umum PKR itu sekali lagi diangkat sebagai simbol perjuangan membela maruah diri, keluarga dan masyarakatnya.

"Perspektif dari mediasfera, isu ini akan menempatkan kembali Anwar sebagai simbol perjuangan diri, keluarga dan masyarakat di kalangan masyarakat tanahair kerana bukan mudah untuk seseorang dan sebuah keluarga menanggung penghinaan yang semacam ini, malah secara berterusan.

"Tentulah masyarakat mula melihat keperluan untuk bersekutu buat perubahan kerana masyarakat sudah tidak mampu menanggung situasi dan krisis politik yang semakin teruk dan semakin mengerikan," kata Prof Abu Hassan.

Prof Abu Hassan turut mengingatkan masyarakat Melayu negara ini yang umumnya berugama Islam dengan ayat 12, Surah Al-Hujurat akan dosa yang ditanggung daripada berprasangka, mencari kesalahan orang lain dan perbuatan fitnah. "Pertamanya, Allah mengeluarkan perintah yang jelas di dalam Al Quran, Surat Al Hujurat, ayat 12, yang bermaksud - Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang berbuat fitnah dan tuduhan sebahagian yang lain. "Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang".

p/s: tertarik dgn ulasan yang diberikan oleh prof ini.baru teringat budaya melayu ini memang penuh dgn cerita fitnah.dari zaman hang tuah hingga ke mahsuri sekarang mangsa org atasan terbaru ialah mantan timbalan perdana menteri malaysia.melayu dan fitnah begitu sinonim?!jika dibuat kajian dlm masyarakat agaknya mungkin kita boleh jumpa jawapannya melayu dan fitnah adalah sinonim.

Ahad, 27 Mac 2011

Selamatkan Malaysia

Walaupun ada yang akan mempertikaikan dan tidak mengamalkan hadis ini kerana dikatakan dhaif (lemah), saya tetap dengan pendirian saya "sayangi negaraku". Tanya pada sesiapa pun di negara ini, adakah mereka sayangkan Malaysia? Kita pasti semuanya akan memberi jawapan, "ya".


Tapi, apakah mereka semua tahu bagaimana mahu menyelamatkan negara ini daripada rosak? Ini yang tidak dapat dipastikan lagi kerana perasaan bangga dengan negara ini hanyalah terungkap di mulut, tetapi tidak di hati.

Semakin hari, semakin gusar perasaan saya memikirkan nasib negara, bagaimana rupanya generasi akan datang? Kini, saya sedang menantikan kelahiran anak sulung. Terus saya termenung, "Apakah nasib anak aku ini kalau beginilah corak pemerintahan Malaysia?"

Ada ketikanya, hati bagai meluap-meluap apabila melihat kepincangan yang ada. Perdana Menteri langsung tiada kelayakan mentadbir negara. Asas penting pembinaan anak bangsa berada dalam keadaan caca merba sepanjang 50 tahun merdeka. Sistem pendidikan ini cuma lebih berpaksikan politik dan mengikut kehendak nafsu sendiri.

Natijahnya, kita dapat lihat kini betapa nipisnya akhlak dan tingkah laku masyarakat. Manakala golongan remaja terus disumbatkan dengan hiburan, yang agak berumur menyimpan teman seks. Yang muda pula menganggap semua ini adalah kehidupan peribadinya sendiri. Makin difikirkan, makin sukar. Apakah rakyat Malaysia bersedia membuat perubahan?

Sukar untuk menjawab. Naluri rakyat Malaysia berlainan dengan naluri rakyat lain. Di Indonesia, tumbangnya Suharto dengan perubahan yang diinginkan rakyat. Australia pula menghukum Perdana Menterinya atas isu Iraq. Di Amerika, rakyatnya sudah jemu dengan dasar Bush sehinggakan ekonomi Amerika Syarikat jatuh. Di Korea Selatan pula, rakyat bebas menyuarakan pendapat demi kebaikan negara. Tapi di negara kita, sedihnya masih ramai lagi dalam kalangan kita yang tidak ambil peduli hal berkaitan politik dan kenegaraan.

Wakil rakyat adalah 'khadam'

Walhal, rakyatlah raja sebenar dan juga penentu halatuju negara. Mereka yang dipilih hanyalah berstatus wakil rakyat atau dengan kata lain, merekalah hamba rakyat kerana melakukan kerja untuk kepentingan rakyat. Tapi, kita yang memilih mereka dan kita pula yang menjadi hamba untuk mereka. Sulit sekali memikirkan gaya pemikiran rakyat Malaysia ini. Apakah rakyat Malaysia berada dalam kelompok yang tidak peka?

Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut dalam hadisnya, "Kamu semua adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas tanggungannya." Terang lagi bersuluh bahawa setiap 25 juta rakyat Malaysia ada tanggungjawab ke atas dirinya sendiri, keluarga dan juga negara! Tapi, apakah sumbangan kita kepada negara?

Cukupkah sekadar berbangga kita sudah punya angkasawan, menara berkembar tertinggi di dunia? Ini semua cuma cebisan sumbangan untuk negara, sumbangan sebenar adalah menjaga negara daripada tangan-tangan yang tiada rasa sekelumit pun dalam diri mereka sifat amanah.

Semakin difikirkan kembali, agaknya dunia sudah berada di penghujung usia. Ini kerana antara tanda akhir zaman ialah amanah tidak diletakkan kepada tempatnya. Inilah yang berlaku dalam negara kita. Paling ketara pada mereka yang sedang memegang tampuk kuasa pemerintahan.

Apa lagi yang harus ditunggu? Kepincangan dan kebobrokan makin terserlah di pihak pemerintah negara. Kenapa masih ada mata yang buta untuk melihat ini semua? Jangan biarkan negara ini seperti negara-negara Arab kini. Negaranya kaya, tetapi amalan demokrasi pincang.

Saya pernah belajar di salah sebuah negara Arab komunis. Saya dapat melihat ketakutan rakyat untuk bersuara. Hinggakan, kalau ingin menyebut nama presiden pun tidak berani kerana bimbang mereka dicop sebagai pembangkang. Jadi, apabila berbual bersama mereka, saya dan pelajar Malaysia lain terpaksa memberi suatu nama gelaran kepada presiden mereka apabila berbual mengenai hal kebebasan di negara itu.

Kini, situasi sebegini telah berlaku di Malaysia. Hinggakan mengoyak gambar pun ingin dibuat undang-undang yang boleh disumbatkan dalam penjara. Di mana demokrasi? Semuanya sudah parah baik dari sudut pentadbiran, perniagaan dan juga akhlak.

Hanya kita saja yang mampu merubahnya. PRU akan tiba tidak lama lagi, saya seru kepada semua rakyat Malaysia untuk menggunakan kebijaksanaan anda untuk mengundi wakil anda di Parlimen. Masalah yang melanda kini bukan hanya masalah Melayu sahaja, tapi masalah semua bangsa yang menetap di Malaysia. Ayuh kita melakukan perubahan. Selamatkan Malaysia. Malaysia milik kita.

p/s: artikel ini ditulis utk harakdah daily.net dan sudah diterbitkan.ditulis sebelum PRU 12.sekalipun isunya sudah lama tp masih relevan hingga kini.